Cari @ Amanz

Macadamia Nut CookieGoogle sering menamakan versi Android mereka mengikut abjad dan berdasarkan kepada nama makanan yang manis. Kini, ia menjadi tanda tanya mengenai apakah nama yang akan digunakan oleh Google untuk Android M kelak, apatah lagi dengan Google I/O yang akan menyusul pada minggu ini.

Google mungkin hanya akan mengumumkan nama akhir versi Android M ini pada pengenalan rasminya kelak yang mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi. Namun, untuk tujuan panggilan dalam syarikat, kini ia dilaporkan Google menggunakan nama kod “Macadamia Nut Cookie (MNC)”.

Nama tersebut juga didapati telah mula digunakan pada versi pembangunan dalaman AOSP oleh pihak Google.

Seperti dimaklumkan awal, ini mungkin bukan nama akhir untuknya. Sebelum ini juga, Google telah menggunakan nama kod “Key Lime Pie” yang versi akhirnya dikenali sebagai Android KitKat, sementara “Lemon Meringue Pie” yang akhirnya dikenali dengan nama Android Lollipop.

Google sebelum ini sering menamakan nama Android mereka lebih awal, tetapi mengambil langkah untuk menangguhkannya kerana ia sedikit sebanyak memberikan impak kepada pengenalan versi Android mereka. Sebagai contoh, ramai yang akan menggunakan versi pembangunan, dan membuat ulasan untuknya di web. Perkara ini seterusnya akan memberikan impak kepada carian yang dibuat pengguna umum – apatah lagi dengan versi pembangunan biasanya tidak stabil. Dengan menangguhkan pengumuman nama akhir, ia akan membolehkan ulasan yang hadir untuk carian nama akhir adalah lebih selari dengan penawaran akhir.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd