Carian
iFlix Memulakan Perkhidmatan Mereka – Langganan Filem Dan Drama Serendah RM8 Sebulan
May 26, 2015 Ikhwan Nazri

Perkhidmatan penstriman filem dan drama iFlix yang telah dilancarkan pada bulan lepas telah mula memberikan akses umum kepada pengguna bermula hari ini. Pengguna boleh memulakan tempoh percubaan namun tempoh tersebut tidak dinyatakan. Menariknya langganan iFlix ditawarkan bermula RM 8 sebulan.

Buat masa ini tiada lagi maklumat lebih terperinci mengenai pembayaran namun yang pasti bagi memulakan tempoh percubaan ini, pengguna boleh memulakannya meskipun tidak mempunyai kad kredit. Antara maklumat lain termasuklah akses tanpa had untuk semua filem dan drama di iFlix, dan tiada iklan akan dipaparkan pada laman web ini. Pengguna juga boleh menggunakan akses yang sama sehingga 5 peranti berbeza dan bagi memulakan percubaan ini, iFlix memerlukan pengguna untuk memasukkan nombor telefon bimbit bagi tujuan penghantaran kod pengaktifan perkhidmatan mereka.

screenshot_405

iFlix boleh diakses perkhidmatannya melalui web namun sekiranya anda menggunakan pelayar pada telefon pintar, ia akan meminta pengguna untuk memuat-turun aplikasi iOS dan Android. Buat masa ini, resolusi kandungan yang ditonton tidak HD dan fungsi sarikata masih diperingkat pembangunan. Semasa mencubanya, masa penstriman yang diambil tidak lama dan agak cepat untuk mula menonton sesebuah rancangan.

Buat masa ini juga pilihan rancangan tempatan masih terhad, dan masih terdapat sedikit kelemahan antaranya termasuklah mengetahui rancangan mana yang sudah dimuatkan kedalam peranti bagi menontonnya semasa ketiadaan sambungan internet. Pihak iFlix juga turut menyatakan yang mereka masih diperingkat percubaan, dan akan menambah-baik perkhidmatan dan aplikasi mereka dari masa ke semasa.

  • Kemaskini 11:25 pagi 27 May 2015: Langganan iFlix RM 8 sebulan hanya boleh diperoleh sekiranya pelanggan memilih cara pembayaran langganan setahun (RM 96). Sekiranya pelanggan ingin membayar secara bulanan, harga langganan iFlix adalah RM 10 sebulan – Sebaran am iFlix.

Komen