Penghantaran Mesej Ini Akan Menyebabkan Peranti iOS Gagal Berfungsi

Penghantaran Mesej Ini Akan Menyebabkan Peranti iOS Gagal Berfungsi

Diterbitkan pada Mei 27, 2015 oleh .

Pepijat adalah perkara yang biasa di dalam kehidupan seharian. Ada pepijat yang membolehkan anda mendapatkan jutaan wang di dalam permainan video dan ada juga pepijat yang menyebabkan berlakunya masalah keselamatan ketika melayari web. Hari ini ada laporan sebuah pepijat yang mengakibatkan peranti iOS gagal berfungsi dan melakukan reboot dengan sendiri. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menghantar mesej seperti di bawah kepada pengguna iOS melalui iMessage ataupun SMS.

Pepijat-iOS-2

Apabila mesej ini dihantar, peranti iOS penerima akan berhenti berfungsi sebelum reboot dengan sendiri. Pepijat ini dilaporkan berlaku pada kesemua peranti iOS tanpa mengira versi sistem operasi yang digunakan.   Terdapat tiga penyelesaian buat masa ini.

1. Menyuruh rakan menghantar mesej kepada anda. Hantarkan apa sahaja mesej pendek dan apabila anda menerimanya masalah akan selesai.

2 Menghantar mesej kepada diri sendiri. Ini boleh dilakukan dengan memberi arahan kepada Siri dengan “Send a message to myself”. Siri kemudian anda menyuruh anda bercakap untuk menghantar mesej. Cakap apa sahaja dan hantar mesej yang tertera kepada diri anda sendiri.

3. Menggunakan aplikasi  seperti Notes. Tulis sebuah nota pendek dan kemudian kongsikan kepada diri anda sendiri melalui iMessage.

Ketiga-tiga jalan penyelesaian di atas sudah dicuba oleh beberapa pengguna dan terbukti berjaya. Pihak Apple dilaporkan sedang giat menyelesaikan masalah ini ketika artikel ini ditulis. Kami di Amanz tidak menyarankan anda menghantar mesej ini kepada teman yang menggunakan peranti iOS walaupun untuk berjenaka.

Pepijat peranti melakukan reboot selepas menerima SMS ini pernah berlaku sebelum ini pada peranti yang menggunakan pemproses Mediatek. Di dalam kes yang berlaku Jun tahun lalu,  penghantaran SMS tanda ” = “ akan menyebabkan peranti penerima melakukan reboot dengan sendiri.

 


TIPS & ULASAN