Google ATAP (Advanced Technology and Projects) adalah sebahagian daripada Google yang membangunkan projek-projek yang lebih pintar dan sukar dicapai. Sebelum ini mereka telah hadir dengan dengan Project Ara untuk telefon modular. Hari ini bersempena dengan Google I/O, mereka memperkenalkan beberapa projek baru, dan salah satunya adalah Project Jacquard.
Melalui Project Jacquard, Google memperlihatkan kebolehan menenun teknologi terus ke kain, dan membawa teknologi setapak kehadapan. Ketika berkongsi, Google menekankan yang mana berbanding jualan telefon pintar, jualan kain di seluruh dunia adalah bernilai berbillion ringgit – menjadikan ia bukan suatu industri besar yang tidak ingin ditinggalkan oleh Google.
Untuk menjayakan perkara ini, Google telah bekerjasama dengan beberapa penenun untuk membawa teknologi terus ke kain. Ia seterusnya diuji dengan ujian untuk tahan lasak, dan berfungsi sebagai kain biasa pada hari ini.
Melalui penggunaan kain ini, Google memperlihatkan contoh untuk menyertakan beberapa sensor, dan kemudian menggunakan ia untuk membuat beberapa arahan gesture. Salah satu perkara yang dipertontonkan oleh Google adalah untuk swipe atas kain, dan ia serta-merta membuat panggilan telefon. Bagi menjayakan perkara ini, Google ATAP turut menggunakan sebuah cip khusus yang mengesan gerakan dan gesture, serta kemudian menghantar ia sebagai sebuah isyarat kepada peranti.
Seperti biasa, Project Jacquard ini masih pada peringkat awal, dan pelbagai perkara yang boleh dibawakan olehnya. Google sendiri mengumumkan kerjasama dengan pengeluar jeans terkemuka, Levis untuk projek ini.
Mungkin dengan perkembangan pesat dunia teknologi, kita akan mendengar lebih lanjut mengenai Project Jacquard ini dalam masa beberapa bulan lagi.