LibreOffice merupakan salah satu penawaran perisian pejabat sumber terbuka yang ditawarkan untuk desktop. Ia menawarkan sokongan untuk menyunting dan membaca pelbagai jenis format dokumen pada desktop, dan kini mereka turut memperluaskan penawaran untuk peranti mudah-alih – bermula dengan Android.
Terkini, mereka telah melancarkan LibreOffice Viewer untuk Android, yang mana membolehkan para pengguna membaca dan mengakses pelbagai jenis format dokumen utama melaluinya. Buat masa ini, ia masih tidak menawarkan sokongan penyuntingan dokumen menyeluruh tetapi hanya sekadar asas sahaja seperti menambah dan memadam teks – yang mana mungkin membuatkan pengguna lebih memilih aplikasi Office daripada Microsoft untuk tujuan berkenaan. Tetapi memandangkan ramai yang tidak menyunting pada peranti mudah-alih dan hanya sekadar ingin mengakses dan memabacanya, berkemungkinan LibreOffice Viewer ini turut akan mempunyai peminatnya tersendiri.
Daripada percubaan kami, ia berfungsi tanpa masalah, membolehkan pengguna membuka dokumen dan membacanya pada peranti mudah-alih. Tetapi ada beberapa kali ia berhenti berfungsi – mungkin disebabkan ia masih pada versi pertama, serta tidak mesra kesemua peranti Android
Bagi anda yang menggunakan peranti Android dan banyak mengakses dokumen melaluinya, mungkin anda boleh memuat-turun LibreOffice Viewer untuk Android hari ini, dan mencuba sendiri pembaca dokumen asas yang ditawarkan secara percuma ini.
- Muat-Turun LibreOffice Viewer untuk Android