Ulasan ASUS Transformer Book T300 Chi

Ulasan ASUS Transformer Book T300 Chi

Diterbitkan pada June 9, 2015 oleh .

M2340015Komputer riba hibrid ultra mudah alih menjanjikan kemampuan yang baik dengan kemudahan penggunaan seperti sebuah tablet. Rekaan paling popular sekarang ialah tablet Windows dengan papan kekunci tambahan. Seperti yang kita lihat pada Surface 3 tempohari, komputer tablet bersaiz kecil masih mampu melakukan tugasan harian sungguhpun mempunyai rekaan yang kompak. Teknologi pengecilan komponen sekarang membolehkan sebuah komputer Windows penuh direka dengan lebih nipis tanpa kehilangan fungsi asasnya. Tetapi sekiranya anda merasakan Surface 3 masih lagi terlalu tebal, ASUS Transformer Book T300 Chi ialah alternatif dengan kemampuan serupa dengan rekaan lebih nipis

Rekabentuk Dan Spesifikasi

Transformer Book T300 Chi
Pemproses 1.2 GHZ Intel Core M 5Y71
Skrin 12.5″ IPS LCD HD Penuh (Sesentuh)
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 128 Gigabyte SSD
Kamera 720P
USB 1X USB 3.0 Mikro-B
HDMI Mikro HDMI
Pembaca Kad MikroSD
Bateri 32 Wh
Harga Jualan RM 3199

Tidak salah untuk mengatakan Transformer Book T300 Chi ialah Zenbook UX305 dengan papan kekunci boleh ditanggalkan. Pemproses 1.2 GHz Intel Core M 5Y71 yang sama digunakan pada Chi. Jumalah RAM juga sama iaitu 4 Gigabyte. Perbezaan hanya kelihatan pada kapasiti SSD yang kini turun separuh kepada 128 Gigabyte. Saiz skrin juga berkurangan kepada 12.5″ HD Penuh (nisbah 16:9) berbanding 13.3″ tetapi kali ini adalah jenis sesentuh.

Keseluruhan Chi diperbuat daripada logam dengan kemasan matte. Tiada corak pusaran bulat berganda pada bahagian belakang tablet. Kemasan tidak berkilat ini mengumpul cap jari dengan mudah berbanding yang kami temui pada UX305.

Pada sebelah kiri terdapat butang Windows ,suara dan pengecasan. Butang kuasa diletakkan pada bahagian atas manakala pada bahagian kiri terdapat port Mini Display, jack fon kepala dan USB 3.0 Mikro-B. Kerana rekaan Chi yang nipis tiada port USB-B bersaiz penuh disertakan. Jika anda perlu menggunakan sebuah pemacu ibu jari, sebuah penyesuai khas disertakan oleh Asus untuk disambungkan kepada USB 3.0 Mikro-B. Tidak seperti pada Surface 3, port Mikro USB pada sisi kanan Chi tidak boleh digunakan untuk tujuan pengecasan.

Asus Transformer Book ChiM2340007  Asus Transformer Book ChiM2340012

Di bahagian bawah Chi terdapat pembaca kad MikroSD dan dock penyambung magnetik kepada papan kekunci Bluetooth. Sambungan magnetik di antara Chi dan papan kekunci adalah sangat kuat. Sepanjang tempoh ulasan tidak sekalipun papan kekunci tertanggal dari Chi sungguhpun digoncang dengan kuat. Pada papan kekunci hanya terdapat sebuah port MikroUSB yang digunakan untuk mengecas bateri papan kekunci. Kekunci adalah dari jenis chicklet seperti yang digunakan pada UX305. Tiada sokongan kekunci berlampu disertakan.

Hanya sebuah kamera disertakan dan ianya terletak di bahagian hadapan dengan resolusi 720P. Ini adalah berbeza dari apa yang dilakukan oleh Microsoft dengan Surface 3 dan Acer dengan Aspire Switch 10E.

Apabila Chi digabungkan kepada papan kekuncinya ialah kelihatan mirip UX305 tetapi lebih nipis. Sungguhpun begitu kami sedari di dalam konfigurasi ini Chi adalah sebuah komputer tablet yang berat. Ini mungkin kerana terdapat dua bateri digunakan pada satu peranti. Satu untuk Chi dan sebuah lagi untuk papan kekunci.

UX305 Dalam Kegunaan Harian

ASUS-Transormer-T300-Chi-3Memandangkan Chi adalah sebuah komputer tablet kami akan mengulas peranti ini di dalam dua mod berbeza. Pertama sekali sebagai sebuah tablet dan kedua sebagai sebuah komputer riba biasa. Kita mulakan dengan mod tablet.

Di dalam mod tablet Chi ialah sebuah tablet dengan skrin bernisbah 16:9. Pembaca Amanz pastinya tahu pendapat kami tentang tablet dengan skrin sebegini. Di dalam mod mendatar ianya selesa digunakan sebagai pemain media untuk menonton video. Tetapi untuk melayari web kedudukan mendatar ini terasa agak canggung. Di dalam mod menegak perasaan canggung ini berkekalan kerana anda terpaksa melayari laman web  yang panjang menegak. Ianya juga sukar untuk dipegang di dalam kedudukan ini. Kami yakin antara sebab mengapa iPad adalah tablet paling laku jualannya adalah kerana ia selesa digunakan pada orientasi menegak ataupun mendatar. Skrin 4:3 iPad memastikan perasaan canggung tidak akan wujud ketika digunakan.

Tidak mengejutkan apabila Surface generasi ketiga dan juga tablet terkini Samsung seperti Tab A kini mengikut jejak langkah Apple. Dari segi mesra pengguna dan ergonomik tablet dengan skrin 16:9 adalah sangat tidak masuk akal. Penggunaan hanya selesa apabila ia digunakan untuk menonton video. Tetapi berapa kerapkah tablet digunakan untuk menonton video berbanding kegunaan lain?

Rekaan tanpa kipas memastikan komputer berfungsi dengan senyap. Tiada lagi deruman kipas yang kita sering kaitkan dengan komputer riba. Rekaan tanpa kipas ini mungkin senyap tetapi selepas penggunaan selama beberapa jam kami sedari bahagian kanan skrin akan menjadi agak panas. Ini menjadikan penggunaan di dalam mod tablet menjadi kurang selesa. Di dalam mod komputer riba ini bukanlah masalah kerana bahagian yang panas adalah jauh dari anggota tubuh sungguhpun jika menaip di atas peha.

Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh

Papan kekunci Blueetooth yang disertakan bersambung dengan bahagian tablet secara magnetik. Ini sama seperti yang dilakukan pada Surface dan juta Aspire Switch 10E. Perbezaannya ialah tiada penyambungan secara litar fizikal seperti yang ada pada dua peranti tersebut.

Kekunci adalah dari jenis chicklet. Amat selesa digunakan untuk menaip dan dapat mengesan segala tekanan jari dengan jitu. Tiada masalah untuk menaip dengan pantas menggunakan papan kekunci ini. Sungguhpun begitu ia tidak mempunyai lampu terbina. Pad sesentuh mengesan pergerakan jari dengan baik. Sama seperti yang kami lihat pada Zenbook UX305 tetapi pengesanan tekanan double click adalah kurang memuaskan. Beberapa kali kami terpaksa menekan pad sesentuh dengan kuat sebelum tekanan double click dikesan. Asus sudahpun menunjukkan mereka mampu menghasilkan pad sesentuh yang responsif pada Zenbook UX305, jadi kegagalan pad sesentuh papan kekunci Chi ini adalah mengecewakan.

ASUS-Transormer-T300-Chi-2

Hayat bateri papan kekunci ini juga mengundang kemarahan. Ia mampu bertahan sekitar 6 jam pada penggunaan biasa. Ini adalah lebih pendek berbanding hayat bateri tablet Chi pada penggunaan yang sama. Port pengecasan MikroUSB papan kekunci ini terletak pada sebelah kiri manakala port USB 3.0 Mikro-B pada Chi terletak pada sebelah kanan. Kabel yang diberikan oleh Asus adalah terlalu pendek untuk membenarkan kekunci dicas oleh Chi. Kami terpaksa menggunakan kabel pengecas telefon kami untik mengecas kekunci yang hampir mati ketika melakukan tugasan. Ini sekaligus memendekkan pula hayat tablet Chi itu sendiri.

Kekurangan dari segi hayat bateri dan lokasi port USB yang menyukarkan pengecasan terus dari tablet Chi ini adalah amat menjengkelkan sepanjang tempoh ulasan.

Asus Transformer Book ChiM2340011

Audio

Dua pembesar suara kecil diletakkan pada bahagian sisi tablet Chi. Ia menembak ke sisi dan ini sedikit sebanyak membuatkan prestasi bunyi tablet ini terjejas. Pada tetapan bunyi tertinggi sekalipun ianya tidak cukup kuat. Sistem audio yang menembak secara sisi tidak lagi sesuai untuk kegunaan di zaman sekarang. Kemampuan audio adalah perkara yang kerap kali mengecewakan apabila kami mengulas sebuah komputer riba. Pada Zenbook UX305 sistem audio Bang & Olufsen  yang digunakan adalah menghampakan. Begitu juga dengan Surface 3 yang mempunyai pembesar suara yang menembak ke hadapan.

Kerap kali juga kami berharap bahawa pengeluar komputer riba akan bekerjasama dengan HTC dan menggunakan teknologi Boomsound pada komputer riba. Jika HTC One M7 yang kecil mampu menghasilkan kualiti audio yang menakjubkan masakan sebuah komputer riba yang enam kali lebih besar tidak mampu melakukannya? Terbukti teknologi audio yang berkuasa dalam saiz yang kompak sudah wujud. Kemampuan audio yang baik kini adalah keperluan penting sebahagian besar pengguna.

Penanda Aras

Intel Core M dihasilkan bagi mereka yang mahukan komputer riba yang tidak menggunakan tenaga yang banyak serta tidak memerlukan sistem kipas. Bagi mencapai keperluan ini prestasi pemproses terpaksa dikurangkan. Jika anda ingin menggunakannya untuk melayari web, melakukan tugasan pejabat dan suntingan gambar, Transformer Book Chi dapat melakukan tugasan ini dengan baik. Tiada sebarang masalah besar yang kami temui sepanjang tempoh ulasan. Ia mampu melakukan perkara asas yang anda perlukan dari sebuah komputer ultra mudah alih dengan cukup mudah.

Tetapi jika anda mahu melakukan suntingan video HD Penuh serta menghasilkan karya bersaiz besar menggunakan Photoshop kelemahan Intel Core M mula kelihatan. Untuk menjadikan Transformer Book Chi sebagai sebuah komputer permainan mudah alih juga bukan sebuah idea yang baik. Ini adalah kerana penggunaan kad grafik terbina Intel HD Graphic 5300.

Kami menggunakan penanda aras 3D Mark dan PC Mark 8 bagi melihat prestasi komputer tablet dan markah yang dicatatkan adalah tinggi sedikit berbanding Zenbook UX305 yang mempunyai spesifikasi yang serupa.

 

Bench-Asus-Transformer-Chi-3DmarkBench-Asus-Transformer-Chi-PCMark

Bateri

Jangkahayat bateri adalah sekitar 7-8 jam pada penggunaan biasa. Jika program yang lebih berat digunakan seperti Photoshop misalnya hayat bateri berkurangan sehingga sekitar 5 jam. Ini adalah jangka hayat bateri komputer riba yang biasa pada hemat kami. Aneh sekali jangka hayat bateri papan kekunci Blueetooth adalah sekitar 5-6 jam. Lebih pendek dari hayat tablet Chi. Dalam tempoh ulasan kami terpaksa menaip menggunakan papan kekunci di atas skrin untuk menaip kerana papan kekunci fizikal yang sudah kehabisan bateri.

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Asus Transformer Book T300 Chi ialah Microsoft Surface Pro 3 dan Acer Aspire Switch 10E. Kedua-dua  komputer tablet ini mempunyai ciri-ciri rekaan serupa dengan Chi.

Komputer Riba Tablet
Asus Transformer Book T300 Chi
Microsoft Surface Pro 3 Acer Aspire Switch 10E
12.5″ FHD 12″ 2160 x 1440 pixel 10.1″ (1280 x 800 pixel)
1.2 GHz Intel Core M 5Y71 1.3 GHz Intel Core i3-4020Y 1.33 GHz Intel Atom Z3735F
4 Gigabyte 4 Gigabyte 2 Gigabyte
128  Gigabyte SSD 64 Gigabyte SSD 32 Gigabyte EMMC + 500 GigabyteHDD
Tiada Kamera Belakang Kamera Belakang 5 Megapixel Kamera Belakang 2 Megapixel
Kamera Hadapan 720P Kamera Hadapan 5 Megapixel Kamera Hadapan 2 Megapixel
1 x USB 3.0 Mikro-B, 1  x Mikro HDMI,1 x Pembaca kad MikroSD, 1 x Jack fon kepala 1 x USB 3.0,1 x Mini Display,1 Pembca kad MikroSD, 1 x Jack fon kepala 1 x USB 3.0,1 x MikroUSB,1 x Pembaca kad MikroSD, 1 x Jack fon kepala
Bateri 32 Wh Bateri 42 Wh
Bateri 8600 mAh
RM 3199 RM 3552 + (Type Cover) RM 1399

Kesimpulan

Asus mendakwa Transformer Book T300 Chi adalah tablet Windows yang paling nipis di pasaran. Sekilas pandang ia hampir separuh ketebalan sebuah Surface 3 yang diulas oleh kami sebelum ini. Apabila disambungkan kepada papan kekunci ianya masih lebih nipis berbanding sebuah Macbook Air. Dari segi rekaan memang Chi sebuah komputer tablet yang menarik. Dengan bahan binaan logam serta kemasan potongan laser ia memang nampak sangat menarik.

Spesifikasinya setanding dengan Zenbook UX305 yang mendapat pujian daripada kami. Oleh itu anda tidak perlu risau dengan kemampuan Chi untuk melakukan segala tugasan dengan lancar. Kekunci Bluetooth yang disertakan adalah selesa digunakan dan begitu juga dengan pad sesentuh. Malang sekali ia masih tidak mempunyai sokongan lampu pada kekunci.

Malang sekali kecantikan Chi dan kemampuannya tidak dapat digunakan secara optimum. Ia hanya mempunyai satu port USB dan itupun di dalam bentuk USB 3.0 Mikro-B. Untuk menggunakan aksesori tambahan ataupun pemacu ibu jari anda perlu menggunakan penyesuai satu kepala yang disertakan. Mahu menggunakan lebih dari satu aksesori USB? Anda tiada pilihan lain kecuali membeli penyesuai tambahan.

Di dalam mod komputer riba konvensional pula ia mudah terbalik terutamanya apabila anda meletakkannya di atas peha. Tablet Chi adalah lebih berat berbanding papan kekunci dan kedudukan pusat gravitinya yang tinggi memerlukan anda sentiasa meletakkan telapak tangan di atas kekunci. Beberapa kali komputer riba ini hampir terjatuh semasa kami menggunakannya. Di dalam mod tablet pula penggunaan skrin 16:9 menjadikannya tablet yang hanya selesa digunakan pada kedudukan mendatar untuk menonton video. Melayari web pada kedudukan menegak ataupun mendatar adalah amat canggung. Sistem audio yang disertakan juga tidak cukup kuat.

Kemampuan bateri Chi adalah sekitar 8-9 jam pada penggunaan biasa. Ini adalah memadai untuk kegunaan harian kami. Sedikit mengecewakan ketahanan bateri papan kekunci pula adalah sekitar 6 jam. Ketika melakukan tugasan di Singapura beberapa minggu yang lalu ini menyebabkan kami terpaksa menaip kerja menggunakan papan kekunci pada skrin untuk menyiapkan kerja. Ini bukanlah pengalaman yang menyeronokkan ketika mengejar deadline.

Selepas menggunakan Zenbook UX305 tempohari kami cukup teruja dengan kemampuan ASUS menghasilkan komputer riba ultra mudah alih untuk kegunaan harian. Dengan spesifikasi setanding kami berharap Chi akan mampu memberikan kemampuan yang setanding. Tetapi kombinasi kekurangan port, rekaan kurang mesra pengguna dan papan kekunci yang cepat kehabisan bateri menyukarkan kami untuk mengesyorkan Transformer Book T300 Chi  kepada anda. Dengan harga RM 3199 sebuah ini membuatkannya lebih mahal berbanding Zenbook UX305 yang dijual pada harga RM 2999. Ketebalan hampir setanding dengan kapasiti dalaman yang lebih besar. Jika komputer tablet yang anda inginkan. Surface Pro 3 Core i3 dijual pada harga RM 3552  tetapi mempunyai USB saiz normal serta papan kekunci yang tidak perlu dicas dengan kerap.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang sangat kemas, premium dan berkualiti. Kesemua komponen di dalam kerangka yang sangat nipis.
  • Paparan yang jelas dengan skrin sesentuh yang responsif.
  • Kemampuan yang baik untuk sebuah komputer riba.
  • Hayat bateri yang baik di antara 5-9 jam mengikut tugasan yang dilakukan.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada port USB yang mencukupi ataupun yang bersaiz normal.
  • Canggung digunakan sebagai tablet.
  • Hayat papan kekunci Bluetooth adalah pendek.

Skor-Amanz-TransformersBook--t300-Chi


TIPS & ULASAN