Carian
Komputer Apple Yang Hadir Sebelum 2014 Didapati Terdedah Kepada Masalah Kerentanan Baru
June 2, 2015 Aman

Dengan perkembangan dunia teknologi, salah satu perkara yang turut berkembang secara seiring adalah sekuriti untuk sesuatu peranti berkenaan. Pendedahan kini dibuat secara lebih terbuka untuk memudahkan pengguna lebih berhati-hati. Pada awal tahun ini kita telah mendengar masalah Superfish yang melibatkan komputer Lenovo, dan kini sebuah masalah kerentanan baru turut ditemui melibatkan komputer keluaran Apple.

Masalah kerentanan baru ini didapati melibatkan kod UEFI (Unified Extensible Firmware Interface). Ia direkabentuk untuk menambah-baik dan menggantikan penggunaan BIOS sebelum ini. Kod untuknya biasanya dikunci untuk mengelakkan sebarang perubahan dilakukan dan mengganggu sistem perkomputeran pengguna.

Melalui masalah kerentanan baru ini, ia dikatakan kod UEFI pada komputer keluaran Apple sebelum pertengahan 2014 tidak dikunci apabila komputer tersebut memasuki mod sleep. Menurut pengkaji yang menemui masalah ini, kod UEFI tersebut dikatakan boleh disunting apabila komputer Apple berkenaan diaktifkan kembali daripada mod sleep.

Apple masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengannya buat masa ini. Sebagai langkah sekuriti berjaga-jaga dan mengelak ia daripada dieksploitasi, pengkaji berkenaan menasihatkan pengguna untuk sering menutup komputer Apple mereka dan tidak meletakkannya dalam mod sleep.

Masalah ini didapati hanya melibatkan komputer Apple sebelum pertengahan 2014 sahaja.

Komen