Cangkerang iPhone Mengecas Bateri Dengan Menyerap Frekuensi Radio Terbuang

Cangkerang iPhone Mengecas Bateri Dengan Menyerap Frekuensi Radio Terbuang

Diterbitkan pada June 2, 2015 oleh .

Adalah dianggarkan 97% isyarat gelombang radio yang dipancarkan oleh telefon mudah alih anda akan terbuang. Ini adalah kerana gelombang radio bergerak dalam bentuk bulatan dan hanya gelombang yang menemui menara pemancar selular akan digunakan untuk komunikasi. Selebihnya akan terbuang dan ini adalah merugikan. Menyedari hakikat ini cangkerang iPhone yang menyerap frekuensi radio terbuang rekaan Nikola Labs dihasilkan.

Menurut Nikola Labs isyarat frekuensi radio dari telefon mudah alih, WiFi dan Bluetooth boleh diserap oleh cangkerang rekaan mereka dan diubah menjadi arus terus yang kemudiannya boleh digunakan semula peranti. Sebanyak 90% daripada gelombang radio terbuang tadi dapat digunakan semula dan memanjangkan hayat peranti anda sehingga 30%. Aruhan kuasa elektrik melalui gelombang radio ini dibangunkan oleh The Ohio State University menggunakan prinsip yang ditemui oleh Heinrich Hertz dan Nicola Tesla.

Nikola-LAbs

Cangkerang yang dihasilkan ini akan dilancarkan melalui laman Kickstarter bulan hadapan. Harga jualan adalah sekitar $99 sebuah. Pihak Nikola Labs masih lagi cuba menyelesaikan beberapa masalah teknikal seperti serapan gelombang radio yang paling optimum supaya tidak menghalang peranti daripada befungsi. Buat masa sekarang teknologi ini wujud dalam bentuk cangkerang tetapi pihak Nikola Labs berharap ianya menjadi fungsi terbina pada kesemua peranti mudah alih, jam tangan pintar dan peranti berhubung (Internet of Things) di masa hadapan.

 


TIPS & ULASAN