Intel Thunderbolt 3 Hadir Dengan Penyambung Berasaskan USB Type-C

Intel Thunderbolt 3 Hadir Dengan Penyambung Berasaskan USB Type-C

Diterbitkan pada June 3, 2015 oleh .

Thunderbolt 3Thunderbolt merupakan salah satu penyambung yang digunakan pada produk Apple, selain beberapa produk keluaran lain. Ia dibangunkan oleh Intel, dan kini Intel pada Computex 2015 telah pun berkongsi mengenai generasi baru Thunderbolt, iaitu Thunderbolt 3. Menariknya, Thunderbolt 3 akan membawakan penyambung berasaskan USB Type-C yang kini kian menjadi piawaian ramai pengeluar.

Dengan menggunakan penyambung USB Type-C, ia sekaligus menjadikan penggunaan penyambung pada pelbagai jenis peranti selari – tetapi pada masa yang sama membolehkan data dan kuasa dihantar pada kadar lebih tinggi. Intel mengatakan melalui Thunderbolt 3 ini, pengguna boleh menghantar data sehingga kelajuan 40Gbps menggunakannya. Intel turut mengatakan ia turut menyokong dua paparan sehingga resolusi 4K tanpa masalah.

Thunderbolt sebelum ini telah diperkenalkan untuk menjadikan ia sebagai penyambung daripada skrin paparan, sehinggalah kepada pemindahan data atau untuk tujuan mengecas dan sebagainya.

Dengan penggunaan USB Type-C yang kini menyokong sejumlah fungsi berkenaan, Intel turut memilih untuk menyokongnya, selain pada masa yang sama menyertakan sebuah logo Thunderbolt pada penyambung untuk mengasingkan penggunaannya berbanding penyambung biasa.

Produk pertama menggunakan Thunderbolt 3 ini dijangka hadir pada penghujung tahun ini, dan diikuti lebih meluas pada tahun 2016. Intel turut mengatakan ia turut akan menyokong Thunderbolt dan Thunderbolt 2 dengan penggunaan adapter khusus.

Thunderbolt 3

Baca : Mari Mengenali USB Type-C


TIPS & ULASAN