Dron Digunakan Bagi Mencegah Penipuan Ketika Peperiksaan Di China

Dron Digunakan Bagi Mencegah Penipuan Ketika Peperiksaan Di China

Diterbitkan pada June 3, 2015 oleh .

Dron biasanya digunakan untuk penggambaran udara oleh penggemar seni video dan gambar di Malaysia. Polis Diraja Malaysia juga akan menubuhkan skuad dron mereka sendiri bagi mencegah jenayah di dalam negara. Di Iran pula wujud dron yang menggantikan penjaga pantai bagi menyelamatkan mangsa daripada lemas. Tetapi di China dron digunakan untuk mencegah penipuan ketika peperiksaan dilakukan.

Dron-Cheat

Di China setiap tahun jutaan pelajar sekolah menengah akan mengambil peperiksaan bagi memasuki universiti. Tahun ini dianggarkan 9 juta pelajar akan menduduki peperiksaan dan 2 Juta daripada mereka akan gagal memasuki universiti kerana markah peperiksaan yang tidak mencukupi. Bagi memberikan kelebihan ketika peperiksaan pelbagai alat penipuan berteknologi tinggi digunakan. Ada yang mencipta cermin mata dengan sistem radio dua hala. Terdapat juga baju yang mempunyai radio yang dijahit terus pada fabrik. Penipuan berteknologi rendah dengan membayar individu lain untuk menduduki peperiksaan bagi pihak anda juga wujud. Ini memaksa kerajaan China untuk mengimbas cap jari setiap calon sebelum peperiksaan dijalankan.

Dron enam kipas anti penipuan ini digunakan di Luoyang baru-baru ini. Pada bahagian bawah dron diletakkan alat mengesan isyarat radio. Apabila isyarat radio yang sering digunakan untuk penipuan dikesan, dron dapat mengesan lokasi pelajar yang menipu dan individu yang bersubahat dengan mudah. Ini nyata aplikasi teknologi dron yang unik dan juga aneh. Teknologi yang digunakan untuk mencegah penipuan harus selari dengan kepintaran pelajar untuk menyeludup masuk “toyol” berteknologi canggih.

 


TIPS & ULASAN