Cari @ Amanz

Jabra pada bulan Mac yang lalu telahpun mengumumkan Jabra Boost, iaitu satu lagi peranti fon telinga berasaskan Bluetooth yang pasti menjadi keperluan buat mereka yang kerap berbual. Berbanding dengan pilihan peranti fon telinga yang lain dari Jabra, seperti namanya Jabra Boost membawakan waktu bersedia sehingga 1 tahun.

Melalui teknologi Power Nap, sekiranya peranti fon ini terputus sambungan Bluetooh dengan telefon pintar anda, ia akan secara automatik akan berhenti beroperasi sekaligus menjimatkan kuasa bateri telefon pintar anda dan kekal bersedia bagi menerima sambungan Bluetooth. Peranti ini juga mempunyai waktu berbual selama 9 jam, dan turut menyokong arahan suara Siri dan juga Google Now. Bagi mengaktifkannya anda hanya perlu menekan butang pada tulisan Jabra tersebut, dan fungsi pengecaman arahan suara akan diaktifkan. Butang yang sama ini juga boleh digunakan untuk menjawab panggilan.

Dari segi rekabentuk, ia membawakan rekaan yang biasa dilihat dan seperti biasa Jabra turut menyertakan aksesori kelengkapan seperti cangkuk telinga EarGels serta penyesuai khusus untuk telinga sebelah kiri dan kanan. Pada badan peranti ini selain butang besar pada tulisan Jabra untuk mengaktifkan fungsi pengecaman suara, terdapat juga butang pengoperasian serta tombol kawalan tahap suara bagi mengawal kekuatan pembesar suara. Sinonim dengan peranti sebegini, semasa menetapkan peranti ini untuk pertama kali, akan terdapat arahan suara yang akan membantu anda untuk menghubungkan peranti ini dengan telefon anda serta amaran sekiranya tahap suara peranti ini terlalu tinggi atau rendah.

Dari percubaan ringkas, semasa menelefon rakan menggunakan peranti ini, apabila ditanyakan mengenai kualiti panggilan kepadanya didapati kualitinya sama dan tidak terdapat sebarang cacat-cela. Bagi saya pula kualiti pendengaran adalah biasa dan dapat jelas didengar walau dalam keadaan bising. Cuma satu kekurangan adalah tahap suara dirasakan tidak dapat dinaikkan kepada tahap yang lebih tinggi. Anda juga boleh mendengar lagu kegemaran anda namun ianya hanyalah pada sebelah telinga.

Perhubungan peranti ini dengan telefon pintar agak stabil, meskipun terdapat satu lagi peranti yang berhubung secara Bluetooth iaitu Pebble. Satu perkara yang tidak dapat dicuba adalah waktu bertahan bateri yang dikatakan selama setahun, namun apa yang saya alami setakat ini oleh kerana saya kerap berbual, saya juga kerap mengecasnya.

Peranti ini boleh didapati di kedai-kedai gajet terkemuka seperti All IT Hypermarket, Radioshack, Machines dan banyak lagi. Terdapat tiga pilihan warna iaitu hitam, putih serta emas dan dijual pada harga RM 179.

Pro

  • Waktu bertahan selama setahun
  • Kualiti audio yang baik

Kontra

  • Tahap bunyi tertinggi dirasakan masih tidak mencukupi.

Skor Amanz 2015 - Jabra Boost

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd