Angry Birds merupakan salah satu permainan terawal yang sangat popular pada platform mudah alih. Ketika awalnya, ada yang memilih platform operasi peranti pintar mereka berdasarkan kepada sokongan permainan Angry Birds ini. Namun, kini ia tidak lagi, dan terdapat sejumlah permainan menarik yang lain di pasaran.
Walaubagaimanapun, pihak Rovio masih mengekalkan momentum Angry Birds dengan hadir bersama pelbagai versi permainan yang lain dibawah jenama sama, selain turut menjadualkan untuk melancarkan filem khusus bersempena dengannya pada tahun 2016 ini.
Bersempena dengan filem tersebut juga, kini Angry Birds mengumumkan kerjasama dengan pihak LEGO untuk hadir dengan permainan yang menawarkan watak Angry Birds. Memandangkan ianya bakal hadir daripada LEGO, maka kita akan dapat melihat bentuk permainan yang boleh dihubungkan dan dibina mengikut kreativiti para pengguna.
Memandangkan Angry Birds sering melibatkan latar untuk menghancurkan binaan dan sebagainya, ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat apakah yang akan ditawarkan oleh LEGO melalui permainan binaan mereka ini kelak.
Maklumat penuh mengenai koleksi permainan LEGO ini dijangka akan diumumkan pada tahun hadapan.