Samsung Galaxy S6 Active Diumumkan Secara Rasmi – Khusus Untuk Pasaran Amerika Syarikat

Samsung Galaxy S6 Active Diumumkan Secara Rasmi – Khusus Untuk Pasaran Amerika Syarikat

Diterbitkan pada June 8, 2015 oleh .

Dengan pelbagai desas-desus dan ketirisan melibatkan Samsung Galaxy S6 Active, hari ini peranti tersebut akhirnya telah pun diumumkan secara rasmi. Pengumuman ini bukannya hadir daripada pihak Samsung, sebaliknya daripada syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat – sekaligus memperlihatkan ia mungkin eksklusif untuk pasaran sana sahaja untuk waktu terdekat ini.

Samsung Galaxy S6 Active

Samsung Galaxy S6 Active ini merupakan peranti dengan sokogan tahan lasak, disamping kalis air dan juga debu. Ia lebih ditujukan kepada mereka yang sering bertugas di luar dan inginkan suatu peranti yang tahan lasak.

Samsung turut menyertakan sebuah butang akses pantas pada bahagian kiri peranti ini, sekaligus memudahkan pengguna membuat akses ke beberapa aplikasi dengan pantas – seperti membuka kompas, membuka lampu suluh dan sebagainya.

Dari segi spesifikasi, ia membawakan skrin bersaiz 5.1-inci dengan paparan Super AMOLED Quad HD, dijana menggunakan cip pemprosesan Exynos 7420 lapan-teras, ruangan storan berkapasiti 32GB. Untuk rakaman gambar, Galaxy S6 Active menggunakan sensor belakang 16-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.

Menariknya, peranti ini turut hadir dengan bateri berkapasiti 3500mAh, serta piawaian IP68 untuk perlindungan dari air dan debu.

Seperti dimaklumkan pada awalnya, Galaxy S6 Active ini hanya ditawarkan secara eksklusif melalui syarikat telekomunikasi di Amerika Syarikat sahaja buat masa ini.

Jika ia ditawarkan di Malaysia, adakah anda akan mendapatkannya, ataupun lebih selesa mendapatkan Galaxy S6 dengan pelindung luar pihak ketiga yang tersedia di pasaran?


TIPS & ULASAN