Cari @ Amanz

Asus Zenfone 2 picsM2350012Asus Zenfone 2 memasuki pasaran Malaysia bulan lalu dengan beberapa pilihan model. Kami bernasib baik kerana menerima model ZE551ML yang mempunyai spesifikasi kedua tertinggi dikalangan lima model yang dibawa masuk. Sejak diperlihatkan kami menerima banyak pertanyaan mengenai peranti terkni daripada Asus ini. Adakah dengan saiz RAM yang besar ia adalah peranti yang terbaik pernah kami ulas di Amanz? Baca ulasan di bawah untuk mengentahui pendapat kami mengenai peranti ini.

Rekaan Peranti

Asus Zenfone 2 ZE551ML
Skrin 5.5″ IPS LCD (403 PPI)
Pemproses 2.3 GHz Empat Teras Intel Atom Z3580
Grafik PowerVR G6430
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel (1080P)
Kamera Depan 5  Megapixel (1080P)
SIM/Telefoni Dwi Mikro SIM (4G/2G)
USB MikroUSB
NFC Ya
Bateri 3000 mAh (Tidak boleh ditanggalkan)
Harga Jualan RM 1099/ 1299

Dari segi fizikal Asus Zenfone 2 ZE551ML tidak menampakkan sebarang perbezaan jika dibandingkan dengan empat model Zenfone 2 yang lain. Ianya peranti dengan skrin 5.5″ IPS LCD HD Penuh dengan panel belakang diperbuat daripada plastik. Panel hadapan pula mempunyai rekaan bulatan konsentrik yang kini sinonim dengan produk di bawah jenama Zen Asus. Tiga butang navigasi kapasitif diletakkan pada bahagian dagu peranti. Butang home di bahagian tengah dihimpit oleh butang multi tasking pada sebelah kanan dan back pada sebelah kiri. Ketiga-tiga butang tidak mempunyai sokongan lampu.

Sungguhpun diperbuat daripada plastik, panel belakang Zenfone 2 mempunyai kemasan seakan logam yang agak kasar. Ianya juga melengkung. Kombinasi permukaan kasar dan melengkung ini membuatkannya selesa untuk dipegang tanpa perlu risau ianya mudah tergelincir dari genggaman.

Bercakap tentang panel belakang kamera dan butang kawalan suara mendominasi rekaan bahagian ini. Butang suara pada bahagian belakang ini sebenarnya adalah sangat ergonomik berbanding pada bahagian tepi seperti pada kebanyakan peranti lain di pasaran.Pada bahagian bawah panel terdapat pembesar suara. Sekilas pandang nampak seperti Asus meletakkan sebuah pembesar suara gergasi pada bahagian bawah peranti. Tetapi hanya lubang bunyinya sahaja yang besar tetapi saiz pembesar suara yang digunakan adalah kecil. Ilusi optik lubang suara lebih besar daripada saiz pembesar suara ini pernah kami lihat pada HTC HD7 lima tahun yang lalu. Siapa sangka teknik lama ini akan muncul semula selepas beberapa tahun menghilangkan diri.

Tidak seperti LG G4, butang kuasa tidak diletakkan sekali dengan butang kawalan audio. Butang kuasa sebaliknya terletak pada bahagian atas peranti bersama dengan jack fon kepala. Kami cukup gemar dengan butang kawalan suara yang digunakan. Timbal balas apabila menekan butang adalah cukup baik. Tidak terasa longgar ataupun terlalu keras. Beberapa milimeter di atas butang kawalan suara ini terletak kamera utama dengan dwi flash. Port pengecasan MikroUSB terletak pada bahagian bawah.

M2350009

M2350001 M2350018

Asus Zenfone 2 picsM2350014Asus Zenfone 2 ZE551ML bolehlah dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan yang diperkasakan pemproses 2.3 GHz empat teras Intel Atom Z3580. RAM sebesar 4 Gigabyte dengan muatan dalaman 32 Gigabyte (sokongan MikroSD sehingga 64 Gigabyte). Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan.

Apabila panel belakang dibuka bateri sebesar 3000 mAh dapat dilihat. Sungguhpun begitu bateri tidak boleh ditanggalkan. Dua slot MikroSIM diletakkan di atas bateri.  Satu slot menyokong SIM 4G dan sebuah lagi hanya 2G. Tidak jauh daripada dua slot MikroSIM ini terdapat slot untuk kad MikroSD.

Dari segi rekaan Asus Zenfone 2 ZE551ML tidak mempunyai rekabentuk yang paling menarik di pasaran. Tidak mempunyai panel kaca ataupun sisi logam berkilat seperti sebuah Galaxy S6. Panel belakang yang perlu dikopak bagi mengakses slot SIM dan MikroSD sukar untuk dibuka melainkan anda mempunyai kuku yang panjang. Sungguhpun tidak diperbuat daripada bahan premium peranti ini masih amat selesa dipegang.  Kesemua butang kawalan navigasi dan suara boleh dicapai dengan mudah. Kami masih tidak tahu mengapa butang navigasi kapasitif yang digunakan tidak berlampu. Adalah sukar untuk mencari kedudukan butang navigasi pada waktu malam.


Zen UI

Asus-Zenfone-2-screen-1Zenfone 2 menggunakan Android 5.0 dengan antaramuka Zen UI. Antaramuka ini membenarkan pengguna melakukan pelbagai kustomasi dan juga fungsi tambahan yang tiada pada Android Vanilla.

Kami ada mengatakan lokasi butang kuasa peranti ini terletak pada bahagian atas. Ini adalah sukar untuk diakses dengan sebelah tangan. Zen UI menyokong fungsi dwi-tap yang membolehkan skrin diaktif atau dimatikan dengan menekannya sebanyak dua kali. Dari skrin yang ditutup anda turut boleh melancarkan beberapa aplikasi kegemaran dengan melukis beberapa bentuk di atas skrin. Ini adalah fungsi yang serupa seperti yang boleh ditemui pada peranti buatan Color OS Oppo. Sebagai contoh melukis hurup W pada skrin yang tidak aktif boleh digunakan untuk melancarkan Chrome secara automatik.

Aplikasi kamera juga boleh dilancarkan serta merta dengan menekan butang suara sebanyak dua kali. Fungsi yang serupa dengan menakan butang home dua kali pada Galaxy S6. Kesemua pintasan pantas yang kami senaraikan tadi mempercepatkan penggunaan Zenfone 2. Bagi mereka yang gemarkan pintas pantas sebegini Zen UI memang adalah antaramuka yang akan menggembirakan anda.

Asus-Zenfone-2-Screen-2

Asus-Zenfone-2-Screen-3

Kustomasi

Kustomasi tema, ikon dan muka taip disokong sepenuhnya oleh Zen UI. Skrin tetapan kustomasi dilakses dengan menekan ruangan kosong pada skrin selama beberapa saat. Sebuah skrin dengan 9 pilihan akan muncul. Pilihan tema, ikon dan animasi boleh dipilih dari skrin ini. Terdapat 10 tema yang boleh dimuat turun buat masa ini. Ini adalah pilihan yang kecil jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Xiaomi.

Asus-Zenfone-2-Screen-4

Aplikasi Terpasang Asus

Peranti ini dipenuhi dengan pelbagai aplikasi eksklusif daripada Asus. Bagi mereka yang biasa menggunakan Android Vanilla kehadiran 32 aplikasi terpasang Asus ini boleh dikategorikan sebagai aplikasi gendut (bloatware). Tetapi sekiranya anda mahukan perkhidmatan yang diberikan Asus secara menyeluruh, aplikasi terpasang ini akan membantu tugasan harian anda. Seperti apa yang dilakukan oleh Samsung dengan S6, kesemua aplikasi terpasang boleh dinyahpasang pada bila-bila masa oleh pengguna. Ada beberapa aplikasi terpasang yang kami rasakan menarik.

PC Link membolehkan paparan skrin peranti muncul pada skrin komputer anda. Melalui aplikasi desktop PC Link skrin peranti boleh dirakam dan kesemua notifikasi Zenfone 2 boleh dilihat terus tanpa peranti dibuka.

Asus Support ialah aplikasi setempat untuk maklumat mengenai produk Asus. Sekiranya anda mempunyai masalah dengan Zenfone 2 anda boleh berhubung secara terus dengan pegawai khidmat pelanggan mereka menggunakan aplikasi chat terbina.

Akhir sekali ialah Kids Mode yang membolehkan akses ibu bapa menghadkan akses aplikasi kepada anak-anak mereka. Senarai aplikasi selamat akan ditetapkan oleh ibu bapa sendiri. Sistem had masa disertakan juga bagi mengawal tahap penggunaan oleh si kecil.

Asus-Zenfone-2-Screen-6 Asus-Zenfone-2-Screen-5


Kamera

Kamera utama Zenfone 2 ialah sebesar 13 Megapixel dan kamera hadapan pula adalah sebesar 5 Megapixel. Pada tetapan 13 Megapixel. gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar bernisbah 16:9 tetapan diturunkan kepada 10 Megapixel.  Aplikasi kamera mempunyai antaramuka yang mudah difahami. Asus menyertakan 17 pratetapan bagi memudahkan proses pengambilan gambar. Antar pratetapan yang disertakan ialah manual, HDR, Animated GIF,Depth of Field, Miniature dan Super Resolution.

Super Resolution menggabungkan empat keping gambar menjadi sebuah gambar sebesar 8192 x 4608 pixels. Tetapi fungsi yang paling diketengahkan oleh Asus ialah Low Light. Di dalam mod ini gambar yang terang boleh diambil sungguhpun dalam keadaan gelap. Gambar yang diambil memang terang berbanding apa yang boleh diambil oleh kamera peranti lain tetapi resolusi diturunkan kepada hanya 3 Megapixel.

Asus-Zenfone-2-Screen-7Berikut adalah beberapa gambar yang sempat kami ambil sepanjang tempoh ulasan. Kami merasakan gambar di dalam situasi terang adalah sangat baik. Penghasilan semula warna adalah baik namun sedikit kekuningan. Gambar yang diambil juga tajam dengan hanya sedikit masalah dedahan berlebihan. Prestasi kamera Asus Zenfone 2 adalah sangat baik di dalam kelas peranti dengan kamera 13 Megapixel.

Kebanyakan peranti dengan kamera 13 Megapixel yang kami uji sebelum ini mempunyai masalah gambar yang agak malap, kurang terang dan penghasilan warna yang kusam. Kesemua masalah ini tidak kami temui pada kesemua gambar yang kami ambil.

Satu perkara negatif yang kami temui ialah apabila mengambil gambar dengan mod automatik di dalam keadaan gelap, masa yang diambil untuk mengambil gambar adalah agak lama. Gambar gelap yang diambil tanpa menggunakan mod Low Light turut menunjukkan sedikit masalah noise tetapi ianya tidak begitu ketara.

Asus Zenfone 2 pics P_20150606_190046 Asus Zenfone 2 pics P_20150608_164143 Asus Zenfone 2 pics P_20150612_112415 Asus Zenfone 2 pics P_20150612_113107 Asus Zenfone 2 pics P_20150612_113231 Asus Zenfone 2 pics P_20150612_115145

 

Penanda Aras

Ketika pasaran mula dipenuhi peranti dengan pemproses lapan teras, Asus bertegas menggunakan Intel Atom Z3580 yang hanya mempunyai empat teras. Tetapi apabila ujian penanda aras dilakukan jelas sekali dari segi kemampuan ianya masih mampu bersaing dengan Exynos 5430 (1.8 X 4 + 1.3 X 4 GHz) Galaxy Alpha) . Markah yang dicatatkan juga hampir setanding dengan Exynos 5433 (1.9 X 4 + 1.3 X 4  GHz Samsung Galaxy Note 4) dan Snapdragon 801 (2.5 GHz x 4 Xperia Z3).

Markah penanda aras adalah 23090 pada Quadrant, 47080 pada Antutu dan 20286 pada Futuremark. Markah yang sangat baik sebenarnya bagi sebuah peranti yang dijual pada harga RM 1099. Kesemua peranti yang mencatatkan markah lebih tinggi daripada Zenfone 2 dijual pada harga lebih mahal.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan baik dan lancar. Tiada sela dikesan semasa mentatal. Saiz RAM 4 GB ZE 551 ML memastikan proses multitasking berjalan dengan lancar tanpa perlu menunggu ataupun memuat turun semula laman web yang dibaca.

Tetapi kami sedari peranti menjadi agak panas apabila digunakan untuk waktu yang lama. Ketika menggunakan Waze contohnya peranti menjadi pantas tidak sampai 10 minit selepas aplikasi dibuka. Apabila bermain aplikasi permainan ia menjadi panas dengan lebih pantas. Memegang peranti menjadi tidak selesa apabila ini berlaku dan mengganggu sesi permainan.

Asus-Zenfone-2-Bench-2Asus-Zenfone-2-Bench-1


Bateri

Kemampuan bateri Zenfone 2 adalah mengecewakan. Pada penggunaan paling berat ia hanya mampu bertahan sekitar 6 jam. Pada penggunaan sederhana ia bertahan sekitar 8-9 jam. Di Amanz kami merasakan hayat bateri sekitar 9 jam adalah purata pada penggunaan berat dan 12 jam pada penggunaan sederhana. Jelas sekali Zenfone 2 mempunyai masalah penggunaan bateri yang tinggi. Berita baik di sini ialah hayat bateri yang pendek ini ialah sistem pengecasan pantas Asus BoostMaster yang disertakan. Melalui pengecas khas ini, peranti dapat dicas ke tahap 60% dalam masa 39 minit.

Asus-Zenfone-2-battery


 

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Asus Zenfone 2 ZE551ML ialah Samsung Galaxy A7 dan One Plus One. Ketiga-tiganya mempunyai saiz skrin dan kemampuan kamera yang setanding. Harga jualannya juga tidak jauh bezanya.

Telefon Pintar 5.5″
Asus Zenfone 2 ZE551 ML OnePlus One Samsung Galaxy A7
5.5″ IPS LCD HD Penuh (403 PPI) 5.5″ LTPS LCD HD Penuh (401 PPI) 5.5″ SAMOLED HD Penuh (403 PPI)
2.3 GHz Empat Teras Intel Atom Z3580 2.5 GHz Empat Teras Snapdragon 801 1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615
PowerVR G6430 Adreno 330 Adreno 405
4 Gigabyte 3 Gigabyte 2 Gigabyte
32/64 Gigabyte (64 GB MikroSD) 16 Gigabyte 16 Gigabyte (64 GB MikroSD)
Kamera Utama 13 Megapixel Kamera Utama 13 Megapixel (4K) Kamera Utama 13 Megapixel
Kamera Utama 5 Megapixel Kamera Utama 5 Megapixel Kamera Utama 5  Megapixel
3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3100 mAh (Tidak boleh dibuka)
2600 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1099/1299 RM 1199 RM 1499

Kesimpulan

Dari segi rekaan Asus Zenfone 2 Z3551 ML mungkin agak ketinggalan kerana masih menggunakan bahan binaan plastik tanpa sebarang kemasan logam. Ini tidak menghalang ianya dari menjadi sebuah peranti yang selesa dipegang. Panel belakang dengan tekstur kasar dan melengkung memudahkan genggaman. Kedudukan butang suara pada bahagian belakang adalah mesra pengguna. Kualiti butang suara peranti juga sangat baik. Tidak terlalu ketat ataupun longgar. Lokasi butang kuasa pada bahagian atas mungkin agak aneh tetapi sokongan fungsi dwi-tap yang membolehkan skrin diaktif dan dimatikan tidak menjadikan ini masalah. Anda turut boleh melancarkan aplikasi kegemaran dengan melakar bentuk-bentuk tertentu terus dari skrin yang dimatikan. Ini adalah fungsi yang sama seperti yang wujud pada Color OS Oppo.

Tiga butang kapasitif yang tidak berlampu sebaliknya mendatangkan masalah ketika penggunaan pada waktu malam. Begitu juga dengan hayat bateri yang kami boleh kategorikan sebagai pendek kerana hanya mencecah sekitar 6 jam pada penggunaan berat. Berita baik di sini ialah sistem pengecasan pantas Asus BoostMaster yang disertakan mampu mengecas peranti ke tahap 60% dalam masa 39 minit.

Zen UI menawarkan pelbagai kombinasi kustomasi buat pengguna. Hampir keseluruhan aspek antaramuka boleh diubahsuai dengan sokongan muat turun tema, ikon dan juga muka taip. Asus turut menyertakan pelbagai aplikasi mereka bagi memudahkan tugasan harian. Kids Mode contohnya boleh menetapkan had masa penggunaan dan akses kepada aplikasi tertentu sahaja. Kesemua 32 aplikasi terpasang Asus ini boleh dinyahpasang pada bila-bila masa sekiranya anda tidak menyukai aplikasi gendut.

Kemampuan memproses adalah baik bagi sebuah peranti harga mampu milik. Hampir setanding dengan Samsung Galaxy Note 4 dan Xperia Z3 yang dijual pada harga lebih mahal. Saiz RAM 4 GB memastikan peranti berjalan dengan lancar. Tiada sela masa dikesan dan multitasking berlaku sekelip mata. Harus dinyatakan bahawa peranti ini agak mudah panas.

Pada harga RM 1099 sebuah untuk model 32 Gigabyte, Asus Zenfone ZE551 ML memberikan nilai yang baik kepada wang yang dibelanjakan. Ia berfungsi dengan amat lancar tanpa sela masa. Kemampuan memproses dan grafiknya tinggi. Cuma pastikan anda mempunyai sebuah power bank sepanjang masa. Kepada yang mencari peranti dengan kemampuan baik pada harga yang mampu milik kami mengesyorkan Asus Zenfone ZE551 ML kepada anda.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan kemas dan menarik. Selesa dipegang walaupun sebelah tangan.
  • Pelbagai fungsi tambahan dan kustomasi boleh dilakukan oleh pengguna.
  • Kemampuan kamera pada situasi pencahayaan yang rendah sangat baik.
  • Saiz RAM yang besar memastikan pelbagai aplikasi boleh dilancarkan tanpa masalah sela masa.
  • Kemampuan kamera yang baik dengan pelbagai pra-tetapan bagi mempermudahkan proses pengambilan gambar.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada lampu pada butang navigasi kapasitif. Sukar digunakan dalam keadaan gelap.
  • 32 aplikasi terpasang disertakan terlalu banyak  dan sebahagian besar adalah tidak diperlukan.
  • Hayat bateri yang pendek.
  • Peranti cepat panas.

Skor-Amanz-Asus-Zenfone-2


Dikemaskini : *Ralat – Pada edisi asal terdapat kesilapan mengatakan ZE551 ML tidak mempunyai sistem pengecasan pantas. Sistem ini sebenarnya wujud dan hanya disokong oleh model Zenfone 2 yang mempunyai RAM sebesar 4 Gigabye.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd