Oppo Bakal Memperkenalkan Program Ganjaran O-Club Pada Minggu Hadapan

Oppo Bakal Memperkenalkan Program Ganjaran O-Club Pada Minggu Hadapan

Diterbitkan pada June 9, 2015 oleh .

Oppo sejak daripada tahun lepas telah memasarkan peranti mereka secara agresif untuk pasaran tempatan, dan kini dalam usaha untuk mengekalkan pengguna peranti Oppo kekal menggunakan peranti keluaran mereka, disamping menghargai para peminat Oppo, pihak Oppo Malaysia bakal memperkenalkan program ganjaran khusus dinamakan sebagai O-Club.

Buat peringkat awal, penawaran ganjaran adalah sangat terhad, dan ia lebih kepada penawaran perkhidmatan seperti pembersihan peranti percuma di pusat khidmat Oppo, muat-turun kandungan percuma di pusat khidmat Oppo, pelindung skrin pada harga serendah RM1, dan kemaskini percuma ke sistem operasi terkini di Oppo Store. Pengguna yang berdaftar dengan Oppo O-Club juga boleh menikmati diskaun sehingga 10% untuk pembelian aksesori iLike atau Oppo, selain mendapatkan telefon pintar ganti percuma untuk digunakan ketika peranti mereka dihantar untuk pembaik-pulihan.

Pengguna peranti Oppo sedia ada boleh mendaftarkan diri menyertai O-Club ini pada harga RM1 setahun, ataupun pengguna baru yang membeli peranti Oppo turut boleh mendapatkan keahlian VIP secara percuma selama setahun. Oppo turut mengatakan pengguna akan menerima mata ganjaran sebanyak 1 mata bagi setiap RM1 yang dibelanjakan di kedai konsep Oppo seluruh negara.

Buat masa ini, mereka masih tidak berkongsi lagi mengenai apakah hadiah-hadiah yang boleh ditukarkan dengan mata ganjaran ini kelak.

Oppo O-Club akan diumumkan pada minggu hadapan, dan pengguna boleh mendaftar di kedai konsep Oppo Malaysia bermula 15 Jun.


TIPS & ULASAN