Samsung ketika memperkenalkan Galaxy S6 tempoh hari di Barcelona, turut telah mengumumkan kemaskini untuk peranti realiti-maya mereka, iaitu Gear VR. Samsung Gear VR 2 direkabentuk khusus untuk Galaxy S6, dan menggunakan teknologi Oculus Rift untuk menjayakannya.
Kini, selang beberapa bulan, Samsung Malaysia merancang untuk membawa masuk peranti berkenaan ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Harga jualannya tidak diketahui lagi buat masa ini, tetapi ia dikatakan akan hadir ke pasaran Malaysia pada pertengahan tahun kedua ini.
Melalui Gear VR, ia merupakan set yang dipakai pada kepala, dan dengan menggunakan skrin Galaxy S6, pengguna boleh menikmati kandungan berbentuk game, video dan sebagainya dalam pengalaman baru. Samsung sendiri menawarkan beberapa kandungan untuknya – termasuk sebelum ini telah hadir dengan kandungan khusus untuk Avengers ketika filem tersebut dimainkan di pawagam.
Dengan permulaan jualan peranti realiti-maya ini juga, kita mungkin akan dapat melihat lebih banyak kandungan untuknya dihasilkan – selain membolehkan para pengguna tempatan menikmati teknologi terbaru ini.
Jadi, adakah anda akan mendapatkan peranti ini apabila ia dilancarkan di Malaysia kelak?