Pernahkah anda menderma darah? Kami pernah semasa muda serta sihat walafiat dahulu. Selepas darah didermakan kami akan mengambil kupon untuk makanan percuma. Itulah tanda terima kasih yang diterima selepas menderma. Selepas itu penderma tidak mengetahui apakah yang berlaku kepada darah mereka. Di Sweden sebuah program baru dilancarkan di mana penderma akan menerima khidmat pesanan ringkas memberitahu darah mereka telah digunakan serta nota berterima kasih atas sumbangan mereka.
Sistem khidmat pesanan ringkas ini sudah digunakan sejak tiga tahun yang lalu bermula di Stockholm. Hanya tahun ini ia diperkembangkan ke seluruh Sweden. Ia dimulakan bagi meningkatkan jumlah penderma darah yang semakin berkurangan. Selepas kempen berjalan jumlah penderma darah bertambah kerana penderma kini mengetahui darah mereka berjaya menyelamatkan nyawa.
Selain daripada itu di Sweden anda boleh melihat jumlah simpanan darah mengikut jenis secara terus melalui laman web. Penderma yang mempunyai jenis darah tertentu boleh mengetahui sama ada darah mereka diperlukan ataupun tidak. Penderma darah juga digalakkan berkongsi alamat emel, Facebook dan Twitter dengan pihak berwajib ketika menderma. Dengan maklumat ini bank darah dapat berhubung dengan mereka melalui tiga akaun tersebut untuk menderma apabila ianya diperlukan.
Ini sememangnya Inisiatif menarik yang menggunakan teknologi komunikasi serta media sosial bagi menyelesaikan masalah kekurangan darah. Mungkin inisiatif ini dapat digunapakai di negara kita yang mempunyai antara jumlah pengguna media sosial tertinggi di dunia.