Cari @ Amanz

Cyanogen hari ini mengumumkan kerjasama dengan PlayPhone, salah satu syarikat yang menguruskan permainan sosial, dan melalui kerjasama ini, Cyanogen bakal menyertakan PlayPhone Game Store pada sistem operasi mereka yang kini digunakan oleh beberapa syarikat pengeluar peranti.

Melalui PlayPhone Game Store, ia membolehkan para pengguna untuk menemui pelbagai permainan baru, memuat-turunnya, selain bersaing dengan rakan-rakan melalui faktor sosial yang diintegrasikan padanya. PlayPhone mengatakan pembangun permainan boleh memuat-naik fail Android sedia ada ke PlayPhone, dan ia akan ditawarkan melalui platform mereka.

PlayPhone

Pengumuman ini hadir daripada Cyanogen selepas mereka mengumumkan kerjasama dengan Microsoft dan Truecaller sebelum ini. Sedikit demi sedikit, beberapa aplikasi baru mula diintegrasikan pada Cyanogen OS, dan ia tidak diketahui sama ada perkara ini akan disukai oleh para pengguna ataupun sebaliknya memandangkan ramai yang mengemari Cyanogen sebelum ini kerana penawaran sistem operasi yang ringan dan bebas daripada bloatware.

PlayPhone Game Store ini dikatakan akan diintegrasikan pada versi komersial sahaja, dan berkemungkinan versi komuniti masih bebas daripadanya buat masa ini.

Bagi anda yang ingin mencuba sendiri PlayPhone Game Store, anda boleh ke laman PlayPhone dan memuat-turunnya hari ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd