Carian
Samsung Galaxy Note 5 Dikatakan Mungkin Hadir Dengan USB Type-C Dan Bateri Berkapasiti 4100mAh
June 12, 2015 Aman

Samsung pada tahun ini telah mencuri perhatian ramai pengguna dengan pengenalan Galaxy S6, dan semestinya ramai juga yang menantikan apakah yang bakal dibawakan oleh keluarga phablet mereka, Galaxy Note 5. Kini, beberapa desas-desus awal mengenai penawaran bateri dan port pengecasan untuknya mula kedengaran.

Mengikut laporan yang hadir hari ini, Samsung dikatakan mungkin menyertakan port pengecasan berasaskan USB Type-C pada peranti mereka kelak. Ini akan menawarkan sokongan pemindahan data yang lebih pantas, selain kebolehan menggunakan port pengecasan secara terbalik dan tidak perlu risau tersilap cucuk seperti sekarang ini.

Samsung sebelum ini pernah bereksperimen dengan port pengecasan berasaskan mikro USB 3.0 untuk pemindahan data dan pengecasan yang lebih pantas, tetapi mereka beralih kembali kepada port pengecasan mikro-USB biasa pada Galaxy S6 – kerana penggunaan mikro USB 3.0 yang tidak mendapat perhatian ramai pengeluar.

Kini, dengan ramai yang mula beralih ke USB Type-C, tidak mustahil untuk kita melihat Samsung turut menjadi antara terawal yang mengintegrasikan ia pada peranti mereka.

Selain daripada itu, Samsung turut dikatakan akan menyertakan bateri berkapasiti 4100mAh pada peranti terbaru mereka ini kelak.

Samsung kebiasaannya memperkenalkan keluarga Galaxy Note baru yang sering dilengkapi stylus sekitar bulan September. Mungkin kita akan dapat melihat ia turut diperkenalkan pada waktu yang sama pada tahun ini.

Komen