Oculus Rift Untuk Pengguna Diperkenalkan Bersama-sama Oculus Touch, Kerjasama Dengan Xbox Diumumkan

Oculus Rift Untuk Pengguna Diperkenalkan Bersama-sama Oculus Touch, Kerjasama Dengan Xbox Diumumkan

Diterbitkan pada June 12, 2015 oleh .

Oculus merupakan salah satu syarikat yang memfokuskan kepada arena realiti-maya, dan telah diambil-alih oleh Facebook pada tahun lepas pada nilai mencapai $2 bilion. Terkini, hari ini, syarikat berkenaan telah pun menawarkan kemaskini penawaran produk daripada mereka, dan berkongsi beberapa perkara baru yang akan hadir melalui Oculus.

Oculus Rift

Perkara pertama yang dikongsikan pihak Oculus adalah pengenalan produk Oculus Rift untuk para pengguna umum. Versi komerial untuk para pengguna akan hadir pada suku pertama 2016 kelak, dan membawakan rekaan yang dikemaskini. Untuk pengguna umum, Oculus Rift tidak boleh dibeli sehingga kini, tetapi sebagai ganti hanya produk keluaran kerjasama mereka dengan Samsung, iaitu Gear VR sahaja yang didapati di pasaran. Penawaran mereka sendiri mengubah pelbagai perkara, selain menawarkan kandungan yang lebih banyak berbanding Gear VR yang sangat terhad.

Melalui Oculus Rift untuk pengguna, seperti biasa, ia dilengkapi dengan dua skrin OLED untuk paparan yang cantik, selain sistem mengesan gerakan yang sangat baik berbanding sebelum ini. Oculus juga melengkapkan ia dengan penawaran audio yang baik – sekaligus memberikan pengalaman realiti-maya yang lebih realistik.

Oculus Rift

Selain daripada hanya headset, pihak Oculus juga turut mengumumkan Oculus Touch, yang mana merupakan alat kawalan dengan pengesan terbina untuk membolehkan anda memainkan permainan berbentuk realiti-maya dengan lebih baik.

Disamping itu, pihak Oculus juga turut bekerjasama dengan Microsoft, dan menawarkan sokongan pengawal Xbox One untuk mengawal sejumlah permainan untuk Oculus. Malah, Oculus Rift juga akan menyokong Windows 10, selain beberapa permainan Xbox akan boleh dimainkan menggunakan Oculus Rift ini.

Oculus Touch

Dalam usaha untuk membanyakkan lagi kandungan untuk realiti-maya, pihak Oculus juga pada acara sama mengumumkan hadiah berjumlah $10 juta untuk para pembangun permainan indie untuk hadir dengan permainan bagi platform tersebut – sekaligus bersedia sebelum pelancaran Oculus Rift untuk pengguna pada tahun 2016 ini.

Oculus dijangka akan menyertai acara E3 pada minggu hadapan, dimana sejumlah permainan menggunakannya dijangka akan dipertontonkan kepada pengguna ketika itu.


TIPS & ULASAN