BlackBerry Dilaporkan Mungkin Hadir Dengan Telefon Android

BlackBerry Dilaporkan Mungkin Hadir Dengan Telefon Android

Diterbitkan pada June 12, 2015 oleh .

BlackBerry boleh dikatakan menghadapi masalah dengan penjualan peranti mereka – terutamanya sejak beralih ke BlackBerry 10, memandangkan mereka mempunyai masalah untuk menarik para pembangun membangunkan aplikasi untuknya – disamping persaingan sengit daripada pelbagai pengeluar peranti Android lain di pasaran.

Kini, Reuters melaporkan yang mana BlackBerry mungkin menggunakan sistem operasi Android sepenuhnya pada telefon pintar akan datang mereka. Ia dikatakan BlackBerry akan memfokuskan kepada pengurusan peranti, sekuriti dan juga perisian melalui perubahan ini.

BlackBerry Slider

BlackBerry dikatakan akan menggunakan sistem operasi Android ini pada telefon slider mereka yang telah diperlihatkan pada MWC 2015 lepas – dimana ia hadir dengan sokongan skrin sentuh serta papan kekunci yang boleh diluncurkan untuk menaip menggunakan butang fizikal bagi mereka yang inginkannya.

Dengan pasaran peranti Android yang kini dipenuhi pelbagai peranti skrin sentuh sahaja, mungkin BlackBerry boleh mencuri sedikit pasaran dengan menawarkan papan kekunci fizikal bersama-sama sistem operasi Android.

Ia tidak diketahui bagaimanakah sokongan akan dilakukan oleh BlackBerry untuk peranti sedia ada jika mereka beralih kepada Android sepenuhnya kelak.

BlackBerry sebelum ini sedia menawarkan aplikasi permesejan mereka untuk pengguna Android, selain turut mengintegrasikan Android runtime pada peranti BlackBerry 10 untuk membolehkan aplikasi Android dijalankan padanya. Tetapi, semestinya penawaran peranti Android sepenuhnya akan menawarkan pengalaman yang berbeza.

Jadi, jika ini benar, adakah anda akan mendapatkan peranti Android daripada BlackBerry?


Dikemaskini : Tajuk ditambah dengan perkataan “mungkin”.


TIPS & ULASAN