Cari @ Amanz

Jalan berlubang ialah lumrah kehidupan sebagai seorang pengguna jalan raya di Malaysia. Kami sudah beberapa kami mengalami kerosakan pada rim dan tayar akibat terlanggar lubang pada waktu malam. Ini bukan masalah remeh kerana sudah ada beberapa insiden jalan berlubang membawa kepada kes kematian. Ada pemandu motosikal terpelanting dan meninggal akibat kecederaan teruk melanggar lubang. Ada juga kes penunggang disapu kenderaan besar yang cuba mengelak lubang. Memandangkan pihak berkuasa tempatan Malaysia sangat pantas membaiki jalan berlubang kita terpaksa akur dengan masalah ini tahun demi tahun

Land Rover Pothole Alert

Di Land Rover mereka menyedari masalah ini akan terus wujud maka teknologi gantungan (suspension) kenderaan yang lebih pintar perlu direka bagi mengurangkan kerosakan. Adalah dilaporkan kerosakan akibat jalan berlubang mengakibatkan kerugian sehingga RM 16 billion setahun di United Kingdom. Sistem gantungan pintar Pothole Alert ini menganalisa permukaan jalan secara aktif. Apabila ia mengesan kenderaan melalui jalan berlubang, sistem gantungan akan berubah secara proaktif bagi mengurangkan hentakan pada tubuh penumpang. Ini dilakukan dengan menggunakan cecair hidraulik magnetik  di dalam sistem penyerap. Dengan mengubah tahap kekuatan medan elektromagnet, sistem penyerap boleh dikeras atau dilembutkan dalam masa beberapa mikrosaat.

Pada waktu yang sama lokasi lubang akan direkodkan dan dikumpulkan. Pangkalan data lokasi jalan berlubang ini kemudian boleh dikongsikan dengan kenderaan lain. Pemandu yang mempunyai sistem yang sama akan menerima amaran tentang kewujudan lubang dan dapat mengelaknya secara manual. Di masa hadapan data lokasi jalan berlubang boleh dikongsikan dengan kesemua kenderaan automatik tanpa pemandu di atas jalan raya. Masa depan di mana kenderaan tidak akan melanggar jalan berlubang kelak akan menjadi realiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd