Parrot merupakan salah satu syarikat pengeluar dron yang agak popular, dan hari ini, mereka telah memperkenalkan beberapa minidron baru yang akan hadir ke pasaran tidak lama lagi. Melalui apa yang diperkenalkan mereka hari ini, ia meliputi pelbagai aspek, termasuk yang boleh terbang diudara, bergerak di darat, mahupun digunakan di sungai dan laut.
Untuk model yang boleh terbang, dua model diperkenalkan dibawah keluarga Airborne – iaitu Cargo dan juga Night. Kedua-duanya seberat 58 gram, dan hadir dengan kamera VGA terbina untuk rakaman gambar ketika terbang. Membezakan kedua-dua model adalah dimana Cargo boleh membawa sedikit muatan bersama-sama dengannya, sementara Night pula mempunyai LED terbina untuk menerbangkan ia pada waktu malam.
Untuk model di darat pula, Parrot menawarkan Jumping Drones, dimana ia boleh bergerak dengan menggunakan roga bersaiz besar untuk digunakan pada pelbagai jenis lantai, serta hadir dengan speaker serta mikrofon terbina. Dron ini dikatakan boleh melompat sehingga setinggi 32-inci ketika bergerak. Jumping Drone ini turut dilengkapi dengan variasi “Night” yang mempunyai LED terbina, selain Race Drone yang boleh bergerak dengan lebih pantas.
Menarik perhatian pada pengumuman kali ini adalah pengenalan model yang boleh digunakan pada air. Pengguna boleh mengawalnya pada kelajuan 6mph dan digunakan di air sehingga 7 minit lamanya. Seperti biasa, pengguna boleh mengawal ia menggunakan aplikasi khusus untuk kawalan dron daripada Parrot, dan melihat keadaan sekeliling menggunakan kamera padanya.
Buat masa ini, kesemua ini hanya diumumkan untuk pasaran Eropah sahaja, dan tidak diketahui lagi berapa lamakah masa akan diambil sebelum ia hadir ke pasaran tempatan.