Carian
7 Fungsi Baru iOS9 Yang Bakal Hadir Ke iPhone Dan iPad Anda
September 16, 2015 Aman

Pada telefon pintar dan tablet Apple, iaitu iPhone dan juga iPad, pihak Apple menggunakan sistem operasi yang dinamakan sebagai iOS. Setiap tahun Apple akan menawarkan kemaskini baru yang membawakan beberapa fungsi baru, dan pada tahun ini Apple menawarkan iOS9 – yang boleh dimuat-turun bermula esok, 17 September 2015.

Melalui iOS9, Apple membawakan beberapa fungsi baru, dimana selain daripada hanya memfokuskan pada fungsi baru, mereka turut memfokuskan untuk mengoptimasikan sistem operasi berkenaan untuk bersaiz lebih kecil, disamping menawarkan kuasa pemprosesan serta masa penggunaan yang lebih lama.


Multitasking Pada iPad

iOS9 Multitasking

Pada iOS9, pihak Apple memfokuskan kepada penawaran sokongan multi-tasking untuk pengguna iPad. Dengan skrin yang bersaiz besar, kini pengguna boleh menggunakan dua aplikasi secara bersebelahan, ataupun mengakses aplikasi lain pada masa yang sama dalam memudahkan mereka membuat tugasan.

Beberapa mod penggunaan disediakan, iaitu Slide Over (membolehkan anda swipe aplikasi dari bahagian tepi untuk diakses sementara dan menghilangkannya kembali), Split View (membolehkan anda menjalankan dua aplikasi secara bersebelahan), dan juga Picture-in-Picture (membolehkan anda teruskan menonton video dalam bentuk tetingkap kecil seumpama pada YouTube ketika anda mengakses aplikasi lain).

Fungsi split-view ini hanya terhad untuk iPad Mini 4, iPad Air 2 dan juga iPad Pro sahaja. Fungsi Picture-In-Picture serta Slide-Over pula adalah hanya untuk iPad Mini 2 dan terkini, iPad Air 2, dan juga iPad Pro sahaja.


Low Power Mode

Apple iOS 9

iOS 9 membawakan pelbagai pengoptimasian pada sistem operasi tersebut, dimana selain mengurangkan saiz pemasangan sistem operasi berkenaan, Apple juga turut menyertakan sebuah mod baru yang dinamakan sebagai Low Power Mode.

Melaluinya, ia memanjangkan hayat bateri telefon anda dengan mengurangkan beberapa perkara yang berjalan pada latar – sekaligus memberikan anda masa penggunaan yang lebih lama sebelum anda mengecas kembali peranti anda.


Sokongan Carian Yang Lebih Baik

iOS9 Search

Kini, anda boleh swipe ke bahagian kiri skrin daripada skrin utama, dan membuat carian yang meliputi pelbagai perkara, termasuk dari segi buku alamat, aplikasi, lokasi berdekatan, dan beberapa kandungan lain. Ini menjadikan proses carian yang dilakukan anda pada peranti lebih efektif, dan memudahkan anda menemui apa yang dicari.


Proactive Asisstant

iOS9 Siri

Apple menambah baik sokongan pembantu peribadi pada iOS9 ini, dan menyertakan sebuah fungsi baru yang dinamakan sebagai Proactive Assistant. Melaluinya, ia akan mencadangkan anda beberapa perkara berdasarkan kepada apa yang anda lakukan setiap hari, dan berdasarkan kepada lokasi semasa anda.

Sebagai contoh, jika anda ada menyimpan temujanji pada kalendar, Proactive Assistant akan mengimbasnya dan mencadangkan anda waktu terbaik untuk kesana berdasarkan kepada keadaan semasa trafik jalan-raya dan beberapa perkara lain.


Memaparkan Nama Bagi Nombor Telefon Yang Tidak Dikenali

iOS 9

Sebahagian daripada Proactive Assistant juga, Apple kini membolehkan anda mengetahui siapa yang membuat panggilan kepada anda jika anda tidak menyimpan nombor mereka pada telefon. Apple melakukan ini dengan membuat imbasan pada emel anda, dan jika ada emel berkaitan dengan nombor telefon berkenaan, maka ia akan memaparkan nama yang mungkin membuat panggilan kepada anda.


Aplikasi Notes Yang Dikemaskini

iOS9 Notes

Aplikasi Notes pada iOS9 kini dikemaskini dengan kemudahan untuk anda menyimpan nota, termasuk menambah fungsi menambah list (senarai), mencatatkan nota dengan gambar, dan juga menggunakan jari untuk membuat lakaran pada nota. Dengan integrasi iCloud, nota yang disimpan pada peranti iOS anda juga turut boleh diakses menggunakan sebarang peranti lain – sebagai contoh pada Macbook.


Sekuriti Yang Lebih Baik

iOS9 Sekuriti

Sepanjang tahun ini, pelbagai kerentanan yang mula didedahkan melibatkan pelbagai sistem operasi. Mengenal-pasti masalah ini, pihak Apple dilihat mengambil langkah untuk menguatkan lagi sokongan sekuriti pada sistem operasi iOS.

Kini, pengguna boleh menggunakan sehingga enam digit sebagai kata laluan peranti, disamping turut mengaktifkan sokongan pengesahan dwi-faktor. Melalui pengesahan dwi-faktor, apabila anda log masuk ke peranti, anda akan diminta untuk memasukkan satu lagi kod rawak – yang mana biasanya dihantar kepada anda melalui SMS ke telefon.


Apple iOS 9

Kemaskini iOS9 ini akan ditawarkan untuk iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPhone 5s, iPhone 5c, iPhone 5, iPhone 4S, iPad Air 2, iPad Air, iPad 4, iPad 3, iPad 2, iPad Mini 4, iPad Mini 3, iPad Mini 2, iPad Mini, iPod Touch 6, dan juga iPod Touch 5.

Namun, sesetengah fungsi hanya terhad untuk beberapa peranti sahaja, dan tidak ditawarkan untuk semua. Pengguna boleh menaik-taraf kepada sistem operasi iOS9 ini bermula daripada 17 September 2015 ini.

Komen