Cari @ Amanz

Penantian selama 7 tahun akan berakhir dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Permainan RPG paska apokalips nuklear Fallout 4 akan menemui pemain PC, PlayStation 4dan XBox One 10 November ini. Tarikh ini diumumkan secara rasmi oleh Bathesda di dalam acara khas mereka pagi ini. Beberapa maklumat menarik juga dikongsi secara umum sebentar tadi. Antaranya ialah permainan bermula sebelum serangan nuklear oleh China dan watak anda memasuki bilik kebal bawah tanah untuk menyelamatkan diri. Permainan kemudian bersambung 200 tahun selepas dunia musnah akibat serangan tersebut. Anjing yang dilihat di dalam trailer tempohari boleh dikawal dan mengambil barang bagi pihak anda. Kami akan berkongsi lebih banyak maklumat berkenaan Fallout 4 di dalam artikel yang lain selepas ini.

PIP-Boy 3000

Anda kini mempunyai lebih kurang lima bulan untuk mengumpul wang bagi membeli Fallout 4. Sekiranya anda seorang peminat tegar, Bathesda akan menjual edisi khas yang turut dilengkapi Pip-Boy yang boleh anda pakai di lengan. Masukkan telefon pintar anda ke dalam Pip-Boy ini dan ia akan berfungsi secara selari untuk memaparkan peta, statistik watak dan juga pelbagai maklumat mengenai dunia Fallout seperti di dalam permainan. Nampaknya 2015 ialah tahun yang dipenuhi pelbagai permainan komputer berkualiti tinggi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd