10 Maklumat Menarik Mengenai Fallout 4 Yang Baru Diumumkan
Artikel Berkaitan

10 Maklumat Menarik Mengenai Fallout 4 Yang Baru Diumumkan

Diterbitkan pada June 15, 2015 oleh .

Selamat datang ke Wasteland. Dunia pasca serangan nuklear yang dilancarkan oleh China pada tahun 2077. Di dalam dunia sejarah alternatif ini berlaku peperangan di antara dua kuasa besar dunia China dan Amerika Syarikat akibat perebutan sumber petroleum. Akibat daripada serangan nuklear ini kebanyakan penduduk bumi terkorban. Hanya sebilangan kecil berjaya menyelamatkan diri dengan memasuki kubu bawah tanah rekaan Vault-Tech. Dengan Fallout 4 cerita bersambung dengan watak baru dan lokasi kali ini ialah Boston. Sebelum ini antara lokasi permainan ialah Las Vegas (New Vegas) dan Washington DC. Maklumat lebih lanjut diperlihatkan pagi tadi di acara khas Batheda. Berikut adalah beberapa maklumat baru yang kami rasakan menarik mengenai permainan ini.

Permainan Bermula Sebelum Serangan Nuklear

Cerita Fallout 4 bermula sebelum serangan dilancarkan oleh China. Anda dapat melihat dunia biasa sebelum ianya dipenuhi radiasi dan haiwan mutasi. Sangat menarik melihat dunia Fallout sebelum segalanya musnah. Di dalam permainan sebelum ini hanya beberapa gambaran dunia sebelum peperangan meletus. Sebagai contoh ialah di dalam misi Vault 112 Fallout 3, anda terperangkap di dalam dunia maya mesin G.E.C.K

Permainan kemudian diteruskan dengan serangan nuklear. Watak yang anda pilih kemudian keluar dari bilik kebal watak tanah 200 tahun selepas serangan ini. Tidak diketahui bagaimana watak anda dapat hidup lama tanpa mengalami proses penuaan. Seperkara lagi yang menarik watak kawalan anda keluar daripada Vault 111. Berbeza dengan bilik kebal bawah tanah yang mempunyai pintu yang dibuka pada bahagian atas. Di dalam permainan sebelum ini pintu bilik kebal dibuka pada bahagian tepi. Kami yakin perbezaan rekaan Vault 111 ini pasti ada kaitan dengan jalan cerita Fallout 4.

Fallout 4Fallout-4-World2

Kustomasi Wajah Yang Lebih Mudah

Apabila bermain permainan RPG, kustomasi wajah adalah penting. Kami akan menghabiskan masa yang lama bagi menghasilkan protagonis yang mempunyai wajah seperti kami. Di dalam permainan Bathesda sebelum ini iaitu Skyrim dan Fallout 3, wajah dikustomasi dengan memilih bahagian muka yang ingin diubah dan menggerakkan pelaras yang disediakan. Sistem ini mengambil masa yang lama dan kurang mesra pengguna. Di dalam Fallout 4 pemain hanya perlu menekan bahagian wajah yang ingin diubah dan ianya diubah secara automatik. Tiada pelarasan perlu digerakkan.

Dari wajah watak lelaki dan perempuan yang anda hasilkan, Fallout 4 akan menghasilkan watak bayi kecil yang menggabungkan wajah mereka. Sama seperti di dunia sebenar.

Fallout 4Fallout-4-Face

Watak Anda Kini Bersuara

Watak yang dikawal anda kini bersuara. Ianya bukan lagi watak bisu seperti Gordon Freeman. Ini adalah perkembangan yang baik kerana permainan RPG moden memerlukan watak yang mempunyai dialog percakapan. Siri Mass Effect dan Witcher telah melakukannya sebelum ini dengan jayanya dan kini tiba giliran Fallout 4 untuk mengikuti trend ini. Apa yang tidak diketahui setakat ini adakah terdapat pilihan kustomasi suara untuk watak yang dimainkan.

Pada waktu yang sama Bathesda merakam lebih kurang suara untuk 1000 nama paling popular di dunia. Sekiranya nama watak rekaan anda ada di dalam pangkalan data suara ini, watak di dalam permainan boleh menyebutnya. Tidak diketahui bagaimanakah dialog percakapan akan berubah sekiranya anda memilih nama yang tidak dirakamkan. Sebagai pemain ang berasal dari Malaysia, kami yakin nama Melayu seperti Danial Danish dan Azwan Ali bukanlah nama yang akan wujud di dalam senarai 1000 nama yang dirakam.

Fallout 4Fallout-4-Talk

 

Watak Anjing Boleh Dikawal Dan Lebih Berguna

Watak anjing yang dilihat di dalam trailer tempohari boleh dikawal oleh pemain. Anjing peliharaan anda ini boleh diarahkan untuk bergerak ke sesuatu lokasi bagi melakukan tinjauan dan juga mengambil barang yang ditemui di sekitar peta.

Fallout 4Fallout-4-Dog

Pip-Boy Kini Beranimasi

Pip-Boy yang dipakai pada lengan pemain berfungsi sebagai menu di dalam permainan. Dari Pip-Boy anda boleh melihat peta, status misi, status kesihatan, statistik keupayaan dan barangan yang ada di dalam inventori. Pip-Boy terkini Fallout 4 kini mempunyai menu dan grafik yang beranimasi. Apabila melihat senjata di dalam inventori, ada gambar ianya berputar bagi memudahkan anda melihat rekabentuknya.

Fallout 4Fallout 4 pipboy 2

Pip-Boy Boleh Bermain Permainan Retro

Fungi baru juga membolehkan Pip-Boy memainkan permainan retro klasik. Setakat ini dua permainan diperlihatkan iaitu Atomic Command dan Red Manace. Atomic Command mirip permainan Missile Command manakala Red Manace mirip Donkey Kong. Kepada yang membesar pada dekad 80an (seperti kami) dua permainan klasik arked ini pastinya akan menimbulkan perasaan nostalgia. Kami difahankan katrij permainan retro ini boleh ditemui di dalam dunia Fallout 4. Pastinya ada beberapa lagi permainan retro klasik versi Fallout boleh dikumpul pemain kelak.

Fallout 4Fallout-4-pipboy-3

Pip Boy Kini Aplikasi Untuk iOS dan Android

Aplikasi Pip-Boy untuk iOS dan Android akan dilancarkan serentak dengan Fallout 4 pada 10 November ini. Ia berfungsi sebagai aplikasi skrin kedua kepada permainan ini. Apa yang berlaku pada skrin akan secara automatik diselaraskan dengan aplikasi telefon pintar ini. Jika anda pernah menggunakan aplikasi skrin kedua Assasin Creed Unity, Black Flag dan WatchDogs, aplikasi Pip-Boy Fallout 4 akan mempunyai fungsi yang sama. Kami rasakan aplikasi ini akan boleh dimainkan walaupun selepas anda tidak bermain dengan Fallout 4 pada PC atapun konsol. Kami juga merasakan kesemua permainan klasik retro yang anda temui di dalam permainan boleh dimainkan oleh anda menggunakan aplikasi ini. Setakat ini tiada maklumat bahawa platform selain iOS dan Android akan disokong oleh pihak Bathesda,

Fallout 4Fallout 4 pipboy 6

Sistem Baju Perisai Berlapis Kini Disokong

Sistem baju perisai kali ini dipertingkatkan dengan sokongan perisai berlapis (layared armour). Setiap bahagian tubuh boleh dipasangkan perisai berbeza dengan kemampuan menahan serangan (armour rating) tersendiri. Pada versi Fallout sebelum ini hanya terdapat satu sahaja perisai yang boleh dipakai pada satu-satu masa yang meliputi seluruh tubuh. Contohnya sepasang Power Armor Brotherhood of Steel yang dipakai akan rosak secara sekata pada keseluruhan anggota tubuh apabila digunakan untuk berlawan. Di dalam Fallout 4, perisai berbeza yang dipakai akan rosak bergantung kepada jumlah hentaman yang diterima dari serangan musuh.

Fallout 4Fallout 4 pipboy 1

 

Kemampuan Membina Markas Sendiri

Anda kini boleh membina markas anda sendiri menggunakan barangan yang dikumpul sepanjang permainan. Kesemua barangan yang anda temui di dalam dunia Fallout 4 boleh dikitar semula untuk membina objek baru. Sebagai contoh sebuah rumah yang rosak teruk selepas ledakan bom boleh dimusnahkan dan puingnya digunakan untuk membina rumah baru. Lebih banyak bahan mentah yang dikumpul, lebih besar struktur yang boleh anda bina. Bagi menambahkan jumlah penduduk di dalam markas, sumber air, makanan dan tenaga elektrik perlu dibina bagi menampung keperluan komuniti.

Pembinaan sistem pertahanan markas anda juga perlu dilakukan kerana ia boleh diserang oleh musuh pada bila-bila masa. Jadi anda perlu bijak menggunakan sumber yang dikumpul bagi memastikan markas anda membesar dengan baik dan masih boleh dipertahankan dari serangan penjahat. Antara sistem pertahanan yang boleh dibina ialah rudal mesingan automatik, jerangkap samar, penyembur api dan mortar.

Anda juga boleh membina lebih daripada satu markas dan kemudian melakukan perdagangan di antara markas menggunakan kafilah lembu Brahmin.

Fallout 4Fallout 4 construction 2

Lebih 700 Kombinasi Kustomasi Senjata Dan Perisai

Sistem kitar semula barangan yang dijumpai di dalam Fallout 4 turut boleh digunakan untuk menambah baik senjata yang anda gunakan. Terdapat lebih kurang 50 jenis senjata asas yang diberikan. Barangan yang ditemui (botol NuKa Cola, kereta mainan dan gam) kemudian boleh diubah menjadi komponen senjata seperti teropong senapang penembak curi. Sistem mengubah suai ini memberikan jumlah senjata yang boleh dibina meningkat kepada sekitar 700 jenis kesemuanya.

Kustomasi tidak terhad kepada senjata yang dipegang malah turut digunakan untuk menambah baik baju perisai Power Armor. Dengan sokongan baju perisai berlapis yang kami katakan sebelum ini, setiap komponen Power Armor boleh dipertingkatkan secara berasingan.

Fallout 4Fallout-4-weapon Fallout 4Fallout-4-weapon2

Dari maklumat yang kita ketahui setakat ini jelaslah Fallout 4 akan membawakan pelbagai pembaharuan yang menjadikannya setanding dengan RPG yang kini sudahpun berada di pasaran. Ratusan jam kehidupan anda akan dihabiskan di dalam permainan ini. Fallout 4 akan mula dijual 10 November ini pada platform PC, PlayStation 4 dan Xbox One. Hanya tinggal lagi 118 hari lagi sebelum pengembaraan di dunia Fallout terkini dapat dilakukan. Sementara itu “Please Stand By”.

Fallout 4Fallout 4 please Stand By

 

 


TIPS & ULASAN