Cari @ Amanz

Bulan Ramadhan menjelang tiba lagi dimana umat Islam akan berpuasa sepanjang bulan tersebut disamping melipatgandakan amalan ibadah. Terdapat pelbagai aplikasi yang dicipta khusus bagi bulan ini namun salah satu aplikasi baru pada tahun ini yang menarik perhatian kami adalah Ramadan Legacy yang menyediakan tatacara serta senarai ibadah yang boleh dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Aplikasi ini secara kasarnya menyenaraikan paparan interaktif membolehkan pengguna memasukkan maklumat berkenaan ibadah yang telah dilengkapkan. Malah terdapat juga senarai semak juzuk al-Quran yang telah dibaca serta butang pilihan sama ada telah melaksanakan solat sunat terawih atau tidak. Selain dari senarai semak ini, terdapat juga pilihan-pilihan doa, petikan hadis dan juga ayat al-Quran terpilih yang dicadangkan supaya dihafal oleh pengguna. Maklumat sebegini kemudiannya dipaparkan dalam satu panel yang menyenaraikan bilangan ibadah tersebut yang telah dilengkapkan.

ramadanlegacy

Selain dari itu, aplikasi ini juga turut membawakan perkongsian dari pengguna aplikasi ini dimana mereka boleh menghantarkan mesej dan juga gambar. Pada paparan ini juga pengguna boleh melihat perkongsian dari pengguna lain, dan maklumat berkenaan prestasi ibadah Ramadhan pengguna tersebut juga boleh diakses.

Aplikasi percuma ini boleh dimuatturun pada platform iOS dan Android. Dengan wujudnya aplikasi sebegini sebarang aktiviti sepanjang bulan Ramadhan kini boleh dikongsikan seluruh dunia dan ini bukanlah kali pertama fokus diberikan kepada bulan Ramadhan. Pada tahun lepas Google juga turut mewujudkan hab khusus untuk bulan Ramadhan bagi membolehkan pengguna mencatatkan agenda, perancangan perjalanan dan pelbagai lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd