Semasa kami masih di kolej penggunaan komputer riba masih lagi rendah. Nota di dalam kelas masih diambil menggunakan pena dan buku nota. Kerusi dewan kuliah adalah jenis plastik dengan meja kayu yang boleh dilipat ke sisi apabila tidak digunakan. Masa sudah berlalu dan keperluan pelajar sekarang berbeza dengan keperluan semasa kami masih belajar. Secara purata pelajar di kolej sekarang mempunyai sekurang-kurangnya dua peranti mudah alih yang dibawa kemana-mana. Oleh sebab itu kerusi dewan kuliah yang digunakan sekarang tidak lagi mesra pengguna yang mempunyai pelbgai peranti.
sixE ialah kerusi dewan kuliah yang direka khas untuk kegunaan pelajar zaman sekarang. Ia mempunyai ruang yang cukup untuk meletakkan telefon pintar, tablet, komputer riba dan juga tempat meletakkan secawan kopi. Pada belakang tempat duduk sebuah cangkuk untuk beg galas diletakkan. Meja bergerak ke sisi dan bukan melipat ke bawah seperti rekaan meja sekarang. Ini bagi mengelakkan meja terlipat ke bawah secara tidak sengaja dan menyebabkan kesemua peranti elektronik terjatuh ke lantai. Semasa di kolej dahulu pernah kami melihat beberapa komputer riba rosak teruk apabila kemalangan sebegini berlaku.
Rekaan sixE memang mesra pengguna dan menunjukkan evolusi rekaan yang berubah mengikut keperluan pengguna. Tetapi ianya masih belum sempurna. Rasanya ia memerlukan hub USB- C terbina bagi memudahkan pengecasan peranti pintar dan komputer riba pelajar.