AMD hari ini selain memperkenalkan Project Quantum, mereka turut memperkenalkan kad grafik terbaru daripada mereka, dengan fokus terhadap kuasa pemprosesan grafik yang tinggi – terutamanya 4K serta realiti-maya. Penawaran terbaru daripada AMD ini dikenali dengan nama R9 Fury.
AMD Radeon R9 Fury dan juga AMD Radeon R9 Fury X hadir dengan teknologi tersendiri daripada AMD, iaitu high-bandwidth memory. Membezakan kedua-duanya adalah dimana AMD Radeon R9 Fury X dilengkapi dengan sokongan penyejukan berasaskan cecair, sementara versi biasa hadir dengan penyejukan udara. Siri kad grafik ini juga turut dilengkapi dengan GPU Fiji yang serba baru.
Dengan integrasi penyejukan berasaskan cecair ini pada kad grafik ini, AMD mengatakan ia menawarkan penggunaan yang senyap dan sejuk berbanding kebiasaan.
Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi dengan 4096 pemprosesan strim, lebih kurang 8.9 bilion transistor, serta penggunaan high-bandwidth memory menawarkan kuasa pemprosesan-per-watt sehingga tiga kali ganda berbanding GDDR5 sebelum ini.
AMD akan memulakan jualan kad grafik R9 Fury ini bermula bulan Julaikelak, dan dijangka berharga bermula $550 (~RM2060).