Mentol lampu biasanya bertahan selama beberapa bulan sebelum terbakar. Mentol lampu tertua di dunia ialah Centennial Light yang sudah beroperasi di balai bomba Livermore California sejak 113 tahun yang lalu tanpa henti. Trend terkini ialah menggunakan lampu LED kerana ia bukan sahaja lebih tahan lama tetapi menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah. Jangka hayat sebuah lampu LED ialah sekitar 7 tahun.
Dyson ,syarikat yang terkenal dengan mesin hampagas tanpa beg dan kipas tanpa bilah – hayat lampu LED 7 tahun ini masih belum cukup. Oleh itu Dyson CSYS Task Light dicipta oleh mereka yang didakwa mampu digunakan selama 37 tahun tanpa henti. Ianya direka oleh Jake Dyson, anak kepada pengasas syarikat ini James Dyson. Menurut Jake masalah utama lampu LED ialah ia mudah panas dan ini menyebabkan jangka hayat mentol menjadi pendek. Dengan sistem penyejukan khas paip haba (heat pipe) yang dicipta beliau, haba dari mentol LED ini disebarkan dengan cepat dan ini memanjangkan hayatnya. Pada waktu yang sama lampu akan kekal pada tahap keterangan yang sama sepanjang hayatnya. Sistem penyejukan lampu ini seakan-akan yang digunakan pada kad grafik berprestasi tinggi.
Seperti kesemua produk Dyson, harga jualan lampu LED paling tahan lama ini langsung tidak mesra pengguna. Ia dijual pada harga $649 (RM 2430) sebuah . Sungguhpun dikatakan mampu bertahan selama 37 tahun, pihak Dyson hanya memberikan jaminan servis percuma selama 5 tahun.