Carian
Xiaomi Mungkin Tidak Menyertakan Pengecas Bersama Peranti Di Masa Hadapan
June 17, 2015 Effi Saharudin

Di masa hadapan, anda mungkin perlu membeli pengecas berasingan apabila membeli peranti Xiaomi. Lei Jun, CEO syarikat pengeluar peranti yang semakin mendapat sambutan ini sedang menimbang idea untuk tidak menyertakan pengecas di masa hadapan. Beliau berkata ini adalah kerana kebanyakan pengguna sekarang sudah mempunyai beberapa peranti sebelum ini dan sudahpun  memiliki beberapa pengecas di rumah. Dengan tidak menyertakan pengecas dengan peranti baru Xiaomi, ia dapat mengurangkan harga jualan dan pencemaran alam sekitar untuk menghasilkannya.

mI cHARGER GC1Kfccn

Kenyataan Lei Jun ini dipetik dari laman Weibo beliau. Reaksi yang diterima rata-ratanya negatif dan ada yang turut menuduh ini adalah cara keji untuk meningkatkan keuntungan Xiaomi.  Secara peribadi kami bersetuju dengan kenyataan beliau. Di rumah dan pejabat kami mempunyai berpuluh pengecas. Ia hanya memakan ruang simpanan dan mengumpul debu. Sungguhpun begitu kami berharap di masa hadapan syarikat pengeluar boleh menggunakan sebuah pengecas standard USB-C yang menyokong pengecasan pantas tanpa mengira model peranti.

Buat masa ini pengecas VOOC Oppo, BoostMaster Asus dan Quick Charge Qualcomm menggunakan sistem berbeza dan tidak boleh digunakan untuk peranti berlainan jenama. Apabila sudah wujud pengecas pantas universal barulah kami rasakan orang ramai bersetuju dengan idea Lei Jun. Anda pula bagaimana?

Komen