Xiaomi merupakan salah satu syarikat pengeluar peranti yang popular dikalangan pengguna Asia, termasuk di Malaysia. Pada tahun ini, mereka telah memperkenalkan beberapa peranti, dan kini mereka menjadualkan untuk memperkenalkan satu lagi peranti baru dibawah keluarga Note pada 29 Jun ini.
Perkara ini diumumkan oleh Lei Jun, CEO Xiaomi melalui laman Weibo – sekaligus memberikan petanda ia akan ditawarkan di China terlebih dahulu sebelum negara lain, seperti kebiasaan.
Peranti Note apakah yang bakal diperkenalkan masih menjadi tanda tanya. Memandangkan peranti Mi Note dan juga Mi Note Pro – phablet flagship daripada Xiaomi hanya diumumkan pada awal tahun ini, dan masih belum hadir ke pasaran tempatan, pelbagai spekulasi mengatakan peranti Note ini mungkin dibawah keluarga mampu-milik, iaitu Redmi.
Mengikut beberapa info tertiris di web, Redmi Note 2 dijangka menggunakan skrin bersaiz 5.5-inci, dilengkapi cip MediaTek 64-bit, serta kamera 13-megapixel pada bahagian belakang dan 5-megapixel pada bahagian hadapan. Kita juga dapat menjangka yang mana peranti ini akan dilengkapi dengan MIUI6 – seperti digunakan pada Redmi 2 dan juga Mi4i.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan apakah yang akan diumumkan oleh pihak Xiaomi pada penghujung bulan ini.