Jam tangan pintar Apple Watch boleh dikategorikan masih pada peringkat awal lagi, malah masih tidak dijual secara rasminya di Malaysia. Namun, ia tidak menghentikan Apple daripada meneruskan pembangunan generasi baru peranti berkenaan yang berkemungkinan akan hadir selang setahun selepas Apple Watch pertama diperkenalkan.
Menurut laporan terkini, Apple dikatakan mungkin akan menyertakan kamera pada jam tangan pintar berkenaan, membolehkan pengguna membuat panggilan video FaceTime menggunakannya. Ini sekaligus akan membawa lebih integrasi dan tidak memerlukan pengguna iPhone mengeluarkan telefon mereka jika ingin menjawab panggilan video FaceTime.
Ia tidak diketahui lagi adakah pengguna akan menggunakan FaceTime melalui jam tangan pintar mereka ataupun sebaliknya – tetapi memandangkan ramai pengguna meminati lebih fungsi pada peranti yang dibeli, maka tidak mustahil untuk melihat Apple menambahnya.
Walaupun menambah kamera, Apple dikatakan akan mengekalkan masa penggunaan bateri lebih kurang seperti versi sekarang dan akan memerlukan pengguna mengecasnya setiap hari. Apple juga dijangka akan hadir dengan lebih banyak variasi penawaran Apple Watch melalui generasi baru kelak.
Pembangunan jam tangan generasi baru Apple ini boleh dikategorikan masih pada peringkat awal lagi, memandangkan mereka hanya akan melancarkannya sekitar tahun 2016 kelak.