Cari @ Amanz

Lian Li ialah jenama cangkerang komputer yang tidak asing lagi di kalangan peminat kustomasi PC. Cangkerang yang dihasilkan mereka diperbuat daripada aluminium dan oleh itu lebih ringan berbanding yang dijual pengeluar lain. Ia juga mempunyai rekaan yang mengutamakan pengudaraan yang baik. Bolehlah dikatakan Lian Li ialah Ferrari dunia kustomasi PC.

Mereka baru sahaja memperlihatkan dua model baru meja yang merangkap cangkerang komputer. Sebelum ini meja merangkap cangkerang ini perlu dibina sendiri oleh peminat kustomasi PC. Dengan DK Q2 dan DK 03 kini anda boleh membelinya terus dari mereka. Kedua-dua “meja cangkerang” ini mempunyai permukaan atas yang diperbuat daripada kaca tahan hentakan dan kerangka utama diperbuat daripada aluminium.

Terdapat ruang yang cukup untuk 7 cakera keras 3.5″ ataupun 8 cakera keras 2.5″. Saiz motherboard yang disokong adalah E-ATX, ATX dan Mikro ATX.  Kepada pengguna kad grafik berganda, DKQ2 dan DK 03 hanya menyokong sambungan dua kad grafik serentak. Tiada ruang yang cukup untuk konfigurasi Quad SLI. Sebanyak lapan kipas 120 mm turut disertakan bagi memastikan penyejukan paling optimum. Sekiranya anda mahu menggunakan sistem penyejukan cecair, radiator sebesar 480 mm disokong oleh kedua-dua model. Akhir sekali cagak untuk empat paparan LED turut disertakan.

Harga jualan adalah sekitar RM 4300 untuk DKQ2 dan RM 6090 untuk DK 03. Harga yang mahal untuk cangkerang komputer merangkap meja ini. Tetapi harus diakui ia kelihatan sangat kemas dan cantik berbanding cangkerang komputer yang biasa kita gunakan di rumah.

Lian-LI-Dk-Q2 Lian-LI-Dk-03-2

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd