Cari @ Amanz

Umum diketahui beberapa tahun yang lalu muncul skandal pekerja kilang yang membina iPhone membunuh diri kerana tekanan kerja. Kilang Foxconn di China terpaksa memasang jaring anti bunuh diri di asrama pekerja bagi mengelakkan kejadian berulang. Pekerja di kilang tersebut mendakwa mereka dipaksa bekerja seperti hamba tanpa masa rehat yang mencukupi. Ramai yang terpaksa tidur di meja kerja kerana ianya lebih selesa dari di dalam asrama yang penuh sesak. Kebanyakan peranti pintar yang kita gunakan juga didakwa menggunakan bahan mentah yang diambil dari kawasan berkonflik. Selepas peranti dibuang ianya menjadi sisa toksik di negara Afrika yang tidak mempunyai garis panduan pembuangan sisa yang selamat.

Fairphone dilancarkan pada tahun 2013 bagi individu yang tidak mahu besyuhabah menggunakan peranti yang dipasang oleh “hamba” dan bahan mentah dari kawasan berkonflik. Bahan mentah yang digunakan untuk membina Fairphone dipastikan dari negara yang menghormati hak asasi manusia. Kilang yang membina Fariphone juga membayar gaji yang setimpal kepada pekerja dengan masa bekerja yang munasabah.Akhir sekali selepas tidak lagi digunakan, Fariphone akan dikitar semula oleh syarikat yang tidak merosakkan alam sekitar.

Fairphone-2

Fairphone 2 baru sahaja dilancarkan dan kali ini ia mempunyai skrin 5″ FHD, pemproses Snapdragon 801, RAM 2 GB dan muatan dalaman 32 Gigabyte (dengan sokongan kad MikroSD). Kamera utama sebesar 8 Megapixel bateri sebesar 2420 mAh. Sistem operasi yang digunakan pula ialah Android 5.1. Kelebihan Fairphone 2 selain apa yang telah disenaraikan di atas ialah ia direka untuk dibaiki sendiri oleh pemilik sekiranya rosak. Pihak Fairphone akan menyertakan manual bagi membolehkan anda membaikinya sendiri dan setiap komponen boleh dipesan semula.

Pra daftar pembelian akan bermula dalam masa terdekat dan ianya dijual pada harga € 525 (Rm 2230) sebuah. Harga yang sangat mahal bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Tetapi sekiranya anda seorang yang beretika dan tidak mahu menggunakan teknologi yang dikotori ketidakadilan dan merosakkan alam sekitar, hanya Fairphone 2 akan membenarkan anda tidur malam dengan tenang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd