Microsoft sebelum ini telah mengumumkan yang mana pengguna Windows 7 dan juga Windows 8.1 sedia ada akan menerima kemaskini Windows 10 secara percuma, dan hari ini mereka turut mengumumkan yang mana pengguna yang membantu Microsoft menguji Windows 10 melalui Windows Insider akan menerima versi asli sistem operasi tersebut secara percuma.
Microsoft mengatakan sesiapa sahaja yang menggunakan Windows Insider Preview dan berhubung menggunakan MSA (Microsoft Account), akan menerima versi akhir sebagai kemaskini secara percuma pada 29 Julai kelak.
Versi akhir tersebut akan kekal aktif, sekaligus membolehkan pengguna menggunakan sistem operasi terbaru tersebut berterusan tanpa risau ia akan nyah-aktif selepas sesuatu tempoh.
Jadi, bagi anda yang menggunakan versi sistem operasi Windows Vista dan sebelumnya, ataupun ingin mendapatkan Windows 10 secara percuma, mungkin boleh memuat-turun Insider Preview hari ini dan menggunakannya.
- Dikemaskini – 2 pagi, 22 Jun – Microsoft mengemaskini perkongsian blog rasmi mereka, dan memadam perkataan “kekal aktif”. Ini sekaligus menjadikan status kemaskini untuk Windows Insider ini menjadi tanda tanya kembali.