Dengan jutaan pengguna menggunakan Facebook setiap jam, salah satu perkara yang menyukarkan para pengguna adalah paparan perkongsian daripada perkara atau mereka yang disukai di News Feed. Facebook sendiri telah mengoptimasikan dan mengubah algoritma NewsFeed beberapa kali, dan kini dilihat menguji sebuah fungsi dinamakan “See First”.
Fungsi “See First” ini masih pada peringkat ujian dan hanya segelintir kecil pengguna sahaja yang terlibat pada ujian ini.
Fungsi “See First” ini ditambah pada bahagian “Follow” pada halaman profil pengguna. Sebelum ini, anda boleh memilih “Follow” atau “Unfollow”, dimana sekiranya memilih “Unfollow”, paparan daripada pengguna berkenaan tidak akan dipaparkan pada News Feed.
Kini, selain pilihan hanya paparan sahaja, jika pengguna memilih “See First”, Facebook akan memaparkan perkongsian daripada pengguna berkenaan pada posisi paling atas di News Feed, sekaligus memudahkan lagi anda mengikuti perkongsian daripada mereka.
Ia tidak diketahui lagi sama ada pihak Facebook akan memperkenalkan sokongan ini secara meluas kepada semua, ataupun ia akan kekal sebagai ujian sahaja buat masa ini.