Sebelum ini, kita telah melihat Intel memperkenalkan Compute Stick mereka – sebuah dongle berasaskan HDMI yang boleh dipasang pada monitor dan televisyen untuk mengubahnya menjadi komputer. Selain Intel, Asus turut menawarkan variasi daripada mereka, dan kini Lenovo turut memperkenalkan penawaran mereka yang dinamakan sebagai Lenovo IdeaCentre Stick 300.
Lenovo IdeaCentre Stick 300 ini hadir berasaskan kepada cip pemprosesan Intel Atom Z3735F, serta menjalankan Windows 8.1. Seperti biasa, Microsoft mengumumkan pengguna boleh menaik-taraf ia kepada Windows 10 bermula 29 Julai kelak.
Lenovo IdeaCentre Stick 300 ini membawakan penghubung berasaskan HDMI dan boleh dihubungkan ke sebarang televisyen dan skrin monitor yang menyokongnya. Menggunakannya, ia boleh mengubah skrin televisyen atau skrin monitor dengan penyambung HDMI kepada komputer Windows sepenuhnya. Pengguna juga perlu menambah papan kekunci serta tetikus melalui sambungan tanpa wayar untuk menikmati pengalaman penggunaan komputer penuh.
Lenovo ideacentre Stick 300 ini akan ditawarkan bermula Julai pada harga $129 (~RM483). Penawaran rasmi peranti ini di Malaysia masih tidak diketahui lagi buat masa ini.