Cari @ Amanz

LG hari ini telah memperkenalkan satu lagi telefon pintar berasaskan Android daripada mereka, iaitu LG Band Play. Melalui telefon pintar ini, LG dilihat lebih memfokuskan kepada penawaran fungsi audio dan kualiti bunyi yang sangat baik berbanding pelbagai peranti lain di pasaran.

LG Band Play

LG Band Play menyertakan speaker 1 watt, yang mana LG katakan menawarkan kualiti bunyi yang sangat jelas dan lebih diperkaya. Seperti semua sedia maklum, terdapat ramai pengeluar di pasaran pada hari ini yang memfokuskan kepada penawaran kamera, skrin dan pemprosesan sahaja. Ia sesuatu yang menarik untuk melihat LG turut hadir dengan sebuah peranti yang memfokuskan kepada penawaran audio yang mungkin diminati oleh sejumlah kecil pengguna di seluruh dunia.

Untuk rakaman gambar, pihak LG turut menyertakan sokongan Laser-Autofokus dengan kamera 13-megapixel, selain kamera hadapan 5-megapixel. Fungsi yang dibawakan oleh antaramuka LG turut hadir, termasuk sokongan seperti Gesture Shot, Gesture View dan sebagainya.

LG Band Play

Dari segi spesifikasi, LG Band Play ini hadir dengan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD, cip pemprosesan Snapdragon 410, memori 2GB RAM, ruangan storan 16GB, serta dilengkapi dengan sokongan LTE. LG melengkapkan peranti ini dengan Android 5.1 Lollipop, serta turut menyertakan ruangan kad-SD, serta bateri yang boleh ditanggalkan berkapasiti 2300mAh.

LG Band Play ini hanya ditawarkan di Korea Selatan sahaja buat masa ini, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan ditawarkan pada peringkat global.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd