Bagi startup, terdapat pelbagai cara bagi mendapatkan dana bagi memajukan perniagaan. Selain dari cara menerima pelaburan dan memberikan pegangan saham kepada syariat, pendanaan berasaskan geran dan pertandingan merupakan alternatif bagi memperoleh dana tanpa perlu memberikan sebarang pegangan saham. Kini siri kedua Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau nama ringkasnya SUPERB kelolaan Teraju telah dibuka permohonannya, membolehkan usahawan berstatus Bumiputera memperoleh dana RM 500,000.
Bagi anda yang tertanya-tanya apakah itu SUPERB, ia merupakan dana yang diberikan oleh agensi Teraju yang membolehkan startup Bumiputera yang mempunyai idea menarik bertanding bagi mendapatkan geran RM 500,000. Sehingga kini, untuk setiap siri terdapat 10 startup yang memperoleh geran ini. Berbeza dengan siri terdahulu yang memerlukan startup untuk melalui sesi pitching secara langsung, pada siri kedua tahun ini memerlukan peserta untuk memberikan pitching dengan memuatnaik video pitching idea perniagaan mereka yang tidak melebihi 2 minit dan mempunyai saiz kurang dari 300MB. Video tersebut perlu dimuatnaik pada halaman yang disediakan mereka, dan akan diadili oleh panel pakar Teraju.
Akhir sekali, peserta atau syarikat yang telah disenarai pendek akan membentangkan idea bisnes dihadapan panel juri yang terdiri dari pakar serta usahawan terkemuka. Startup yang terpilih akan memperoleh dana sebanyak RM500,000 yang boleh digunakan untuk melaksanakan idea bisnes mereka. Tarikh tutup penyertaan siri kedua adalah pada 23 Ogos 2015. Sekiranya idea bisnes anda dan startup anda memerlukan dana, skim sebegini seharusnya tidak dilepaskan begitu sahaja.
- Info
- Sertai: SUPERB Siri Kedua