Seperti yang kami laporkan semalam permainan Batman Arkham Knight edisi PC mempunyai pelbagai masalah dan pepijat sungguhpun dimainkan pada PC berspesifikasi tinggi. Pihak Rocksteady sudah berjanji akan menghasilkan patch sepantas mungkin bagi memperbaiki masalah prestasi yang buruk. Ada pengguna PC yang melaporkan permainan berjalan pada 10 frame sesaat pada komputer mereka. Buat masa ini Rocksteady hanya mampu menyarankan pengguna PC supaya menurunkan kemampuan grafik kepada yang lebih rendah dan mematikan fungsi Nvidia Gameworks yang diuar-uarkan sebelum ini.
Menyedari maklum balas yang negatif ini pihak Warner Brothers mengarahkan penjualan Batman Arkham Knight edisi PC dihentikan serta merta selagi masalah prestasi grafik tidak diselesaikan. Pengumuman penarikan penjualan ini dilakukan pada blog rasmi WB Games mereka. Kepada pelanggan yang tidak berpuas hati mereka disarankan untuk meminta wang kembali dari STEAM atau memulangkannya secara fizikal ke kedai dimana ianya dibeli. Mereka juga memohon maaf kepada pengguna PC atas segala masalah yang timbul.
Apa yang dilakukan oleh Warner Brothers ini adalah mengejutkan. Sebelum ini jika permainan mengalami masalah syarikat pengeluar akan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan kenyataan dan tidak pernah menghentikan penjualan. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Assassin’s Creed Unity dan juga Sim City 2013 yang amat bermasalah tetapi masih dijual selepas pelbagai rungutan diterima. Kepada pengguna konsol PlayStation 4 dan Xbox One tiada masalah dilaporkan anda boleh terus bermain sepanjang hari.