Cari @ Amanz

vivo merupakan salah satu pengeluar peranti dari China yang telah mula menawarkan telefon pintar mereka di Malaysia sejak daripada tahun lepas. Namun, mereka tidak pernah membuat pengumuman rasmi mengenainya sehingga kini. Hari ini, mereka mengumumkan secara rasminya jenama mereka di Malaysia, selain turut memperkenalkan satu lagi telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan, iaitu vivo X5Pro.

Vivo mengatakan di Malaysia mereka kini mempunyai lebih kurang 10 pusat servis dan khidmat pelanggan, dan hampir 2000 pusat jualan di seluruh negara. Mereka turut menekankan yang mana mereka akan terus memfokuskan pasaran tempatan, dan membawakan penawaran yang lebih dioptimasikan untuk Malaysia melalui peranti mereka.

vivo x5 pro launch -IMG_0909

vivo X5 Pro sebelum ini telah diperkenalkan secara rasmi pada bulan Mei yang lepas, dan ia boleh dikatakan ia agak pantas untuk melihat vivo membawanya ke pasaran tempatan. Dari segi rekaan, vivo X5Pro membawakan kaca hadapan dengan rekaan 2.5D – yang memberikan kesan sedikit melengkung pada bahagian hadapan, selain turut dilengkapi dengan bingkai berasaskan logam. Ia hadir agak tipis pada ketebalan 6.44mm.

Meskipun tipis, ia masih mempunyai bateri sebesar 2450 mAh dan turut boleh digunakan dengan dua kad SIM. Salah satu kekuatan utama pada telefon ini ialah keupayaannya merakam gambar dengan resolusi sehingga 32-megapixel namun mempunyai sensor kamera 13-Megapixel f/2.0 pada kamera belakang dan 8-Megapixel f/2.4 pada kamera hadapan.

Antara spesifikasi lain telefon pintar ini termasuklah dikuasakan cip pemprosesan Snapdragon 615 1.5GHz lapan-teras dengan GPU Adreno 405 serta RAM sebesar 2GB dengan kapasiti storan 16GB. Kapasiti storan boleh ditambah menggunakan kad Mikro-SD dengan kapasiti sehingga 128GB namun ia akan menggunakan slot kad SIM kedua, dan akan menyebabkan pengguna tidak boleh menggunakan dua rangkaian pada masa yang sama.

vivo x5 pro launch -IMG_0941

Telefon pintar ini juga mempunyai paparan skrin bersaiz 5.2-inci dengan resolusi 1920×1080. Paparan Corning Gorilla Glass 2.5D ini juga memberikan ilusi kedalaman secara tiga dimensi. Menjadi satu lagi kekuatan telefon ini adalah kualiti audio yang baik, memfokuskan kepada penawaran audio HiFi melalui telefon pintar mereka.

Telefon yang beroperasi menggunakan Funtouch OS berasaskan Android Lollipop ini akan dijual di pasaran tempatan pada harga RM 1,599. Kami akan membawakan pandang pertama untuk peranti ini tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd