SNS Network bersama-sama Intel Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan telefon pintar pertama dibawah keluarga JOI, iaitu JOI Phone 5. Telefon ini berasaskan kepada cip pemprosesan terbaru daripada Intel, iaitu Intel Atom x3.
Bagi yang tidak mengenali akan jenama JOI, ia merupakan salah satu jenama tempatan daripada SNS Network, dimana sebelum ini mereka telah menawarkan sejumlah tablet dan produk berasaskan Android serta Windows, dan dengan adanya telefon pintar, kini mereka lebih memperluaskan pasaran produk mereka.
Joi Phone 5 membawakan skrin bersaiz 5-inci dengan resolusi 1024×600 pixel, memori 1GB RAM, serta ruangan storan 8GB. Telefon pintar ini dilengkapi kamera belakang 8-megapixel serta kamera hadapan 2-megapixel.
Ia menggunakan Android 4.4 KitKat, serta antaramuka asal Android tanpa sebarang penambahan drastik. Telefon pintar ini turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 2100mAh. Telefon pintar ini hanya ditawarkan dalam pilihan 3G sahaja, tetapi ia diperkatakan versi LTE mungkin menyusul pada tahun ini.
Selain daripada telefon pintar, pihak SNS Network dan juga Intel Malaysia turut memperkenalkan sebuah lagi tablet baru, dinamakan sebagai JOI 7 Lite. Joi 7 Lite ini membawakan skrin bersaiz 7-inci, memori 1GB RAM, ruangan storan 8GB, kamera belakang 2-megapixel, serta kamera hadapan VGA.
JOI Phone 5 dijual di Malaysia pada harga RM399, sementara JOI 7 Lite pula dijual pada harga RM299. Ia boleh didapati daripada pengedar rasmi SNS Network, di kedai AEON, dan beberapa rakan kerjasama online.