Peminat peranti Apple di Malaysia sudah alah bisa tegal biasa dilayan seperti anak tiri apabila produk baru Apple dilancarkan. Singapura akan sentiasa menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan menerima kumpulan pertama produk Apple sebelum ianya dijual di negara ASEAN yang lain. Amalan pergi ke negara jiran ini untuk menjadi insan pertama memiliki peranti terbaru Apple oleh pengguna Malaysia sudah menjadi acara tahunan.
Apple Watch mula dijual di Singapura sejak semalam dan sambutan dilaporkan agak mengecewakan dengan peranti masih boleh dibeli tanpa perlu beratur panjang. Thailand akan menjadi negara kedua rantau Asia Tenggara yang akan menjual Apple Watch bermula 17 Julai ini. Jadi sekiranya anda duduk di utara semenanjung Malaysia, adalah boleh pergi ke Thailand untuk Apple Watch kerana perjalanan yang lebih pendek.
Laman Apple Malaysia masih belum memaparkan sebarang petunjuk bilakah jam pintar ini akan mula dijual. Ia hanya memaparkan “akan tiba 2015” buat masa ini. Kami akan membawakan maklumat terkini tentang penjualan Apple Watch di Malaysia apabila ianya tiba kelak.