Cari @ Amanz

Dengan perkembangan dunia internet, salah satu perkara yang diinginkan ramai adalah akses internet berkelajuan tinggi. Di Malaysia, kita telah mula menikmati rangkaian internet jalur-lebar berkelajuan tinggi sejak beberapa tahun yang lepas, dan kini syarikat telekomunikasi berlumba memperluaskan penawaran dan juga kawasan yang disokong oleh mereka.

Sebelum ini, kita telah melihat Telekom Malaysia menambah sokongan penawaran UniFi mereka dengan kelajuan baru 30Mbps dan juga 50Mbps. Kini, Maxis, sebagai langkah menyaingi penawaran Telekom Malaysia, turut hadir dengan pakej baru yang membawakan akses internet jalur-lebar sepantas 100Mbps.

Melalui apa yang ditawarkan oleh Maxis, mereka menawarkan pelan 100Mbps melalui Maxis Fibre Internet pada harga langganan RM398 sebulan. Pengguna MaxisONE boleh menikmati pelan ini dengan diskaun dan mereka hanya perlu membayar RM330 sebulan.

Maxis 100 Mbps

Maxis mengatakan tiada had data dikenakan untuk pakej mereka, selain turut menawarkan panggilan percuma melalui pakej Maxis Fibre. Selain pakej 100Mbps, Maxis turut menawarkan langganan pakej 30Mbps pada harga RM248 sebulan, 20Mbps pada harga RM198 sebulan dan juga 10Mbps pada harga RM148 sebulan.

Bercakap mengenai penawaran internet dengan kepantasan 100Mbps, selain Maxis, pihak TIME dotCOM turut menawarkannya pada harga langganan RM179, tetapi terhad kepada 100Gb kuota – dimana ia diturunkan kepada 10Mbps selepas tamat penggunaan kuota.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd