Carian
Apple Menawarkan Kemaskini iOS 8.4 – Menyertakan Apple Music Dengan Langgan Bermula RM15 Sebulan
June 30, 2015 Aman

Apple hari ini telah memperkenalkan kemaskini iOS 8.4 kepada para pengguna iPhone dan juga iPad, dimana melalui kemaskini sistem operasi terbaru berkenaan, Apple menyertakan beberapa penambah-baikkan kestabilan, selain menjadi fokus utama adalah pengenalan perkhidmatan baru dinamakan Apple Music.

Apple Music adalah perkhidmatan penstriman muzik seumpama Spotify, membolehkan para pengguna melanggan perkhidmatan Apple Music dan mendengar lagu tanpa had melaluinya. Apple juga turut menyediakan senarai lagu yang disusun oleh kurator, selain akses ke radio internet.

Apple Music

Apple Music

Seperti dilaporkan pada petang tadi, langganan Apple Music untuk pengguna di Malaysia adalah $3.99 sebulan (RM15), sementara untuk langganan pakej keluarga yang terdiri daripada 6 akaun pula adalah berharga $5.99 (sekitar RM23). Walaupun langganan individu adalah selari dengan pelbagai perkhidmatan penstriman lain, untuk langganan pakej keluarga ia boleh dikatakan adalah agak murah. Tetapi menjadi salah satu persoalan adalah mengapa pihak Apple tidak menggunakan mata wang tempatan di Malaysia, sementara negara lain seperti India dan Indonesia, Apple Music memaparkan mata wang tempatan negara berkenaan.

Bagi pengguna peranti iPad dan iPhone, anda boleh memuat-turun kemaskini iOS 8.4 hari ini dan menikmati Apple Music ini. Aplikasi Apple Music untuk Android bakal menyusul pada tahun ini.

Komen