iPhone 6S Dilaporkan Akan Menyokong Kelajuan LTE Lebih Pantas, Dan Bateri Lebih Efisyen

iPhone 6S Dilaporkan Akan Menyokong Kelajuan LTE Lebih Pantas, Dan Bateri Lebih Efisyen

Diterbitkan pada July 2, 2015 oleh .

Setiap tahun, Apple hadir dengan versi iPhone terbaru, dan untuk tahun 2015 ini, mereka dijangka akan memperkenalkan iPhone terbaru yang dipanggil ramai sebagai “iPhone 6S”. Seperti biasa, nama akhir masih tidak rasmi buat masa ini, tetapi ia dipanggil sedemikian berdasarkan kepada kemaskini iPhone yang telah diperkenalkan Apple sebelum ini.

Menurut laporan terbaru, iPhone 6S ini dikatakan akan menyertakan cip LTE terbaru daripada Qualcomm, dimana ia bakal menawarkan kelajuan muat-turun sekali ganda berbanding dengan iPhone 6 sebelum ini. iPhone 6 sebelum ini menawarkan kelajuan muat-turun sehingga 150Mbps, dan iPhone 6s dijangka akan menawarkan kelajuan muat-turun sehingga 300Mbps melalui penggunaan cip baru ini kelak.

Cip LTE Qualcomm ini juga bersaiz lebih kompak, dan menggunakan tenaga yang lebih kurang berbanding sebelum ini ketika menggunakan rangkaian LTE. Ini bermakna, secara kasar pengguna akan dapat menikmati masa penggunaan yang sedikit lama berbanding sebelumnya.

Disamping itu, 9To5Mac turut mengatakan rekaan kompak yang dibawakan cip ini membawakan kepada ruangan tambahan yang kosong pada peranti, membolehkan pihak Apple menyertakan bateri bersaiz lebih besar berbanding sebelumnya. Ini, ditambah lagi dengan fungsi iOS9 untuk penjimatan bateri, pengguna boleh menggunakan peranti mereka untuk masa yang lebih lama berbanding apa yang ditawarkan iPhone hari ini.

Mengikut desas-desus sebelum ini, rekaan iPhone 6s ini dikatakan akan menyerupai iPhone 6, dan mungkin ia akan menawarkan perubahan dari segi dalaman dan tenaga pemprosesan yang dibawakan olehnya.


TIPS & ULASAN