Facebook Dilaporkan Berbincang Dengan Beberapa Syarikat Label Muzik

Facebook Dilaporkan Berbincang Dengan Beberapa Syarikat Label Muzik

Diterbitkan pada July 2, 2015 oleh .

Apple pada minggu ini telah melancarkan perkhidmatan penstriman muzik mereka dinamakan Apple Music secara rasminya. Tetapi, kini agak menarik kerana Facebook dilaporkan sedang dalam fasa awal perbincangan dengan beberapa syarikat label muzik antarabangsa.

Apakah matlamat utama pihak Facebook untuk berbincangn dengan syarikat label muzik seperti Sony Music, Warner Music, dan Universal Music Group masih tidak diketahui. Terdapat kemungkinan juga yang mana Facebook berbincang dengan pihak ini untuk tujuan perlesenan bagi Facebook Video – memandangkan platform video mereka sedang berkembang dengan pesat, dan ia tidak menghentikan pengguna memuat-naik video muzik dari penyanyi dan sebagainya.

Namun, selain daripada Facebook Video, ia juga mungkin sesuatu yang menarik sekiranya Facebook turut menyertai arena muzik. Facebook sedia mempunyai jutaan pengguna setiap hari, dan pengenalan perkhidmatan muzik ini mungkin membuatkan pengguna menghabiskan masa yang lebih lama pada platform mereka.

Seperti dikatakan pada awalnya, perbincangan ini masih pada fasa awal dan kami secara peribadi merasakan ia mungkin lebih kepada Facebook Video. Mungkin jika Facebook ingin menyertai arena muzik, mereka boleh sahaja membeli Spotify dan mengintegrasikannya dengan mendalam pada laman sosial mereka. Facebook sebelum ini telah menyertakan sokongan “Listen” dari Spotify pada laman sosial mereka, tetapi ia tidak begitu menarik perhatian ramai untuk menggunakannya.

Bagi anda, apakah yang anda rasakan bakal dibawakan oleh Facebook dengan berbincang dengan syarikat label muzik ini?


TIPS & ULASAN