Siri permainan FIFA sudah wujud sejak 1993 dan tahun demi tahun mereka akan memperkenalkan fungsi baru untuk menjadikannya lebih baik dari tahun sebelumnya. Tahun ini fungsi No Touch Dribbling akan diperkenalkan bagi membolehkan anda menggelecek bola dengan lebih realistik. Bagi mendapatkan pergerakan terbaik, EA Sport menggunakan khidmat penyerang Barcelona Lionel Messi, penggelecek bola terbaik dunia sekarang. Pergerakan pemenang Ballon d’Or sebanyak tiga kali ini dirakam secara terperinci menggunakan teknologi MoCap. Ini bukan kali pertama pergerakan Messi dirakam untuk permainan video. Kali pertama ianya dilakukan ialah untuk PES2010, yang merupakan pesaing terdekat FIFA.
Melalui sistem No Touch Dribbling anda boleh menggelek tanpa bola melekat kepada kaki pemain yang dikawal. Sebelum ini bola akan melekat seakan magnet apabila pergerakan gelecek dilakukan. Melalui No Touch Dribbling anda boleh menipu pemain lawan sama seperti apa yang selalu dilakukan Messi di atas padang. FIFA 16 akan menemui peminat pada September ini pada platform PC, PlayStation 4, PlayStation 3, Xbox One dan Xbox 360.