Pada tahun lepas dan tahun ini, kita menyaksikan pelbagai jenama popular menyertai persaingan jam tangan pintar, dan kini, jenama jam popular dari Jepun, iaitu Casio dilaporkan bakal menyertai arena sama pada awal tahun hadapan. Casio yang terkenal dengan jenama G-Shock dipetik mengatakan akan hadir dengan jam tangan pintar sekitar Mac 2016 kelak.
Casio mempunyai kepakaran dalam membangunkan jam tangan pintar bukan sahaja yang kelihatan menarik, tetapi turut boleh digunakan untuk aktiviti sukan dan sebagainya. Casio dikatakan akan menggunakan kepakaran tersebut dalam hadir dengan jam tangan pintar terbaru mereka kelak.
Platform apakah yang akan digunakan oleh Casio masih tidak diketahui lagi. Casio menyasarkan untuk memasarkan jam tangan pintar mereka pada harga yang lebih rendah berbanding beberapa pesaing lain di pasaran.
Memandangkan ia jam tangan pintar, maka kita boleh melihat ia boleh dihubungkan ke telefon pintar, dan pengguna boleh melihat notifikasi dan sebagainya. Seperti biasa, setiap jam tangan pintar pada hari ini sering mempunyai masalah berkaitan bateri, dan mungkin Casio akan mendapat kelebihan jika mereka dapat menyelesaikan masalah utama tersebut.
Sama-sama kita nantikan apakah yang bakal ditawarkan oleh Casio kepada para pengguna pada awal tahun hadapan.